am@hmetro.com.my
Ipoh: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah mengenalpasti seramai 754 individu bagi kesalahan membuang sampah yang mewajibkan mereka menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM), setakat hari ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, daripada jumlah itu sebanyak 478 individu menjalani proses pendakwaan di mahkamah dengan 137 daripadanya warga asing.
Menurutnya, buat pertama kalinya semalam (13 Februari), seramai 15 individu sudah dihukum dengan perintah itu yang berbentuk menyapu jalan, cuci longkang, dan cuci tandas selama enam jam; selain dikenakan kompaun RM1,500 atas kesalahan itu.
“Setakat pagi ini, 754 orang “ulat sampah” sudah pun ditangkap. 478 akan didakwa di mahkamah, dan antaranya 137 adalah warga asing.
“Oleh itu pastikan jaga kebersihan kerana menjaga kebersihan bukan sahaja kewajipan, namun ia adalah separuh daripada keimanan. Kita kena pastikan Malaysia bersih, tiada penyakit berjangkit, dan rakyat hidup sejahtera,” katanya.
Nga berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sumbangan Kasih MADANI Parlimen Tambun Sempena Tahun Baru Cina dan Sambutan Ramadan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Cina Yuk Choy, di sini hari ini.
Sebelum ini, Kor Ming memaklumkan semua pesalah bagi kesalahan membuang sampah merata tempat
dimestikan menjalani PKM berbentuk hukuman membersihkan longkang, menyapu jalan dan mencuci tandas awam mengikut sabitan mahkamah.
Ia sebahagian daripada penguatkuasaan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) bermula 1 Januari lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




