sukan@hmetro.com
Georgetown: Pengendali Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail mengakui anak buahnya beraksi di bawah tahap kemampuan sebenar meskipun berjaya menempah tiket separuh akhir Piala Cabaran selepas menewaskan Kelantan Red Warrior (KRW) 1-0 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Bandaraya, petang semalam.
Beliau secara jujur berkata, ini kerana Piala Cabaran memberi tekanan berbeza kepada anak buahnya terutama apabila mereka berdepan pasukan Liga A1 Semi-Pro seperti KRW yang berada di kancah persaingan berbeza dengan pasukan Liga Super.
“Secara keseluruhan saya puas hati kita dapat kemenangan tetapi keputusan itu di bawah jangkaan kami. Tetapi harus difahami, saingan piala ada keunikan tersendiri dan saya sebenarnya lebih suka bertemu dengan pasukan Liga Super berbanding A1.
“Bila kami jumpa pasukan A1 bagi mereka, jika kalah, itu dianggap biasa dan mereka tiada apa yang dirugikan kerana tewas kepada pasukan Liga Super. Jadi tekanan itu sebenarnya lebih kepada pasukan kami,” kata Rohaimi pada sidang media selepas perlawanan.
Terdahulu, tandukan deras penyerang import kelahiran Brazil, Douglas Coutinho pada minit ke-81 memastikan kemaraan skuad Harimau Kumbang dengan agregat 1-0 selepas perlawanan pertama di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu Sabtu lalu berakhir tanpa jaringan.
Wan Rohaimi menegaskan, fokus pasukannya kini terarah kepada persiapan menentang Johor Darul Ta’zim FC di gelanggang lawan, 28 Februari depan selain menuntut anak buahnya belajar daripada pengalaman untuk mengurangkan kesilapan dalam perlawanan akan datang.
“Saya juga mahu memberi fokus kepada pemulihan pemain yang cedera. Dalam tempoh dua minggu ini, ada sedikit ruang rehat untuk pemain yang telah berusaha berhempas pulas dan Alhamdulillah dalam lapan perlawanan terakhir, hanya satu kami kalah bagi saya ia rekod baik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




