Keselamatan bandar di bawah parti Demokrat bahaya – Trump

Keselamatan bandar di bawah parti Demokrat bahaya – Trump

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan bahawa bandar-bandar di bawah pentadbiran parti Demokrat berada dalam keadaan paling berbahaya.

Kenyataan itu dibuat susulan penutupan sebahagian operasi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) di AS yang bermula awal pagi kelmarin selepas peruntukan dana tamat pada tengah malam.

“ICE (Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam)  telah menjalankan tugas yang luar biasa. Kita mempunyai sempadan yang tertutup buat kali pertama dalam sejarah. 

“Kita perlu melindungi penguat kuasa. Kita perlu melindungi penguat kuasa undang-undang, polis, peronda sempadan, ICE dan lain-lain.

“Demokrat sudah gila. Mereka adalah golongan kiri radikal yang gila. Itulah sebabnya bandar-bandar mereka tidak selamat,” katanya kepada wartawan.

Penutupan sebahagian operasi itu menjejaskan pelbagai agensi di bawah DHS, namun agensi kerajaan persekutuan yang lain akan terus menerima dana sehingga 30 September depan.

Antara bandar-bandar yang mempunyai datuk bandar daripada parti Demokrat ialah Bandar Raya New York, Atlanta, Cincinnati, Detroit dan Pittsburgh

Wakil-wakil rakyat daripada Dewan Senat AS kini dilaporkan bercuti selama 10 hari dan penutupan itu dijangka berlanjutan sehingga minggu ini.

Agensi-agensi yang berada di bawah DHS ialah Perkhidmatan Kewarganegaraan dan Imigresen (USCIS), Pengawal Pantai,
Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP), Agensi Keselamatan Siber dan Infrastruktur (CISA), Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA), ICE, Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) serta Perkhidmatan Rahsia AS (USSS).

Penutupan sebahagian itu berlaku ketika Parti Demokrat dan Rumah Putih bertukar cadangan dalam beberapa hari kebelakangan ini, ketika sebahagian wakil rakyat mendesak had terhadap usaha penguatkuasaan imigresen Trump susulan insiden tembakan maut terhadap dua warga AS, Alex Pretti dan Renee Good di Minneapolis. – AGENSI

 

 

Scroll to Top