WASHINGTON – Ahli-ahli Lembaga Keamanan telah mengikrarkan lebih AS$5 bilion untuk usaha kemanusiaan dan pembinaan semula di Semenanjung Gaza, kata Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Ahad menjelang mesyuarat pertama badan itu minggu depan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Mereka juga telah memberi komitmen untuk menugaskan ribuan anggota dalam Pasukan Penstabilan Antarabangsa bagi menyokong polis tempatan di Gaza, tulis beliau di Truth Social.
Lembaga Keamanan yang mencetuskan kontroversi itu – hasil cetusan idea Trump – dijadual bermesyuarat buat kali pertama pada Khamis ini di Washington.
Trump menubuhkan Lembaga Keamanan sebagai sebahagian daripada pelan damai susulan konflik dua tahun antara Israel dan kumpulan Palestin Hamas.
Badan itu ditubuhkan bagi menyelia pembinaan semula dan keselamatan di Semenanjung Gaza. Sebuah jawatankuasa eksekutif akan melaksanakan garis panduan strategiknya, manakala “Lembaga Eksekutif Gaza” berperanan menyokong secara langsung pentadbiran peralihan Gaza yang terdiri daripada teknokrat Palestin yang bertanggungjawab mengawal selia kehidupan harian di wilayah berkenaan.
Semasa lawatannya baru-baru ini ke Washington, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu telah menandatangani dokumen mengenai penyertaan Israel ke dalam Lembaga Keamanan. Menurut laporan media, Netanyahu tidak akan hadir pada mesyuarat pertama itu; sebaliknya Menteri Luarnya Gideon Saar akan mewakili Israel.
Penegasan Trump bahawa Lembaga Keamanan boleh digunakan untuk menangani krisis lain telah menimbulkan kebimbangan di beberapa negara, dengan pengkritik menyifatkan badan itu sebagai pesaing kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – Bernama
Ringkasan AI
- Ahli-ahli Lembaga Keamanan telah mengikrarkan lebih AS$5 bilion untuk usaha kemanusiaan dan pembinaan semula di Semenanjung Gaza
- Memberi komitmen untuk menugaskan ribuan anggota dalam Pasukan Penstabilan Antarabangsa bagi menyokong polis tempatan di Gaza
- Lembaga Keamanan dijadual bermesyuarat buat kali pertama pada Khamis ini di Washington
- Ditubuhkan oleh Donald Trump sebagai sebahagian daripada pelan damai susulan konflik dua tahun antara Israel dan Hamas
- Netanyahu menandatangani dokumen mengenai penyertaan Israel dalam Lembaga Keamanan tetapi Menteri Luarnya Gideon Saar akan mewakili Israel di mesyuarat pertama



