Kuala Langat : Pulau Carey muncul sebagai salah satu destinasi perindustrian dan logistik paling berpotensi di rantau ini berikutan pelbagai pembangunan utama yang giat dijalankan.
Dengan perancangan kerajaan negeri untuk membangunkan pelabuhan ketiga seluas 1,699.68 hektar, pulau itu dijangka menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan industri Selangor bagi tempoh dua hingga tiga dekad akan datang.
Kelebihan strategik Pulau Carey merangkumi akses lancar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 dan KLIA 2 bagi pengangkutan kargo udara, selain jarak dekat dengan Northport dan Westport untuk logistik laut.
Ia turut dihubungkan melalui rangkaian lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Kuala Selangor–Kuala Lumpur (LATAR), Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Pantai Barat (WCE), dan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE).
Seiring dengan transformasi ini, pemaju Amverton melangkah ke sektor perindustrian melalui Amverton Carey: Eco-Industrial Park.
Inisiatif ini menandakan satu pencapaian penting apabila kepakaran mereka dalam membangunkan komuniti mampan diaplikasikan untuk memenuhi keperluan industri moden.
Bagi projek berkenaan, CID Realtors bekerjasama rapat dengan Amverton untuk membawa pembangunan berkenaan ke pasaran.
Kerjasama itu menyatukan kepakaran pembangunan Amverton dengan pemahaman mendalam CID Realtors terhadap pasaran hartanah industri.
Amverton Carey: Eco-Industrial Park adalah pembangunan induk seluas 600 ekar (242.81 hektar) yang dirancang secara teliti dengan penekanan terhadap kelestarian dan kecekapan operasi.
Fasa 1 yang merangkumi keluasan 227.94 ekar (92.24 hektar) dijadualkan untuk dilancarkan pada penghujung suku pertama tahun 2026.
Pembangunan itu direka khusus untuk sektor pergudangan, logistik, automotif, serta jentera dan peralatan dengan menawarkan tiga jenis produk berbeza termasuk unit kilang separa berkembar.
Amverton Carey: Eco-Industrial Park tidak sekadar menyediakan fasiliti kilang atau gudang, tetapi turut merangkumi asrama dan kawasan perumahan yang dijangka siap secara berfasa dalam tempoh tiga tahun lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




