Budapest: Kejayaan Paris Saint-Germain menjulang gelaran Liga Juara-Juara Eropah buat kali kedua berturut-turut bukan sekadar dibina atas bakat dan kualiti pemain bertaraf dunia, sebaliknya hasil kepercayaan penuh terhadap falsafah yang diterapkan jurulatih mereka, Luis Enrique.
Selepas menewaskan Arsenal 4-3 menerusi penentuan penalti dalam aksi final di Budapest, pemain PSG sepakat mengangkat Enrique sebagai individu paling berpengaruh di sebalik dominasi baharu kelab Perancis itu di pentas Eropah.
Sejak tiba di Paris pada 2023, Enrique tidak menjanjikan kejayaan segera, sebaliknya berusaha membentuk sebuah pasukan yang meletakkan kepentingan kolektif mengatasi status individu.
Pertahanan PSG, Achraf Hakimi berkata, kejayaan mempertahankan kejuaraan Eropah membuktikan pendekatan yang dibawa jurulatih dari Sepanyol itu membuahkan hasil.
“Bukan mudah untuk menjadi juara dua kali berturut-turut, tetapi kami berjaya melakukannya. Jurulatih adalah suara utama kelab ini.
“Kami mengikutinya dan mempercayainya. Sejak hari pertama dia memberitahu bahawa pasukan lebih penting daripada pemain. Kami bukan sekadar membentuk pasukan, tetapi sebuah keluarga,” katanya.
Falsafah itu nyata mengubah wajah PSG yang sebelum ini sering dilabel sebagai pasukan dipenuhi bintang tetapi gagal berfungsi sebagai satu unit apabila berdepan tekanan dalam saingan Liga Juara-Juara.
Di bawah Enrique, PSG terus mengekalkan kekuatan menyerang, namun aspek disiplin, intensiti dan semangat berpasukan menjadi asas utama kepada kejayaan mereka.
Pemain tengah Portugal, Vitinha mengakui musim ini cukup mencabar dengan masalah kecederaan dan keletihan fizikal selepas jadual padat, namun pasukan berjaya mengharunginya hasil pengurusan terbaik daripada barisan kejurulatihan.
“Terdapat banyak turun naik sepanjang musim. Kami tahu akan berdepan masalah kecergasan dan kecederaan kerana tempoh rehat yang singkat, tetapi kami sudah bersedia menghadapinya.
“Kami bermain tanpa beberapa pemain utama dalam banyak perlawanan, namun tetap mampu berkembang dan terus menang. Semua pemain termasuk yang kurang mendapat minit permainan memainkan peranan besar,” katanya.
Enrique turut mendapat pujian kerana sentiasa memberi peluang kepada pemain simpanan tanpa mengira status atau reputasi, termasuk pemain muda berbakat, Warren Zaire-Emery yang dianggap antara aset masa depan PSG.
Walaupun hanya beraksi pada masa tambahan di final, Enrique menyifatkan pemain berusia 20 tahun itu sebenarnya layak berada dalam kesebelasan utama berdasarkan sumbangannya sepanjang musim.
Kejayaan mempertahankan kejuaraan Eropah turut menguatkan keyakinan PSG bahawa mereka kini berada di landasan tepat untuk terus mendominasi bola sepak Eropah meskipun tidak lagi bergantung kepada kehadiran bintang besar seperti sebelum ini.
Malah kapten pasukan, Marquinhos percaya PSG masih belum puas dan akan terus memburu lebih banyak trofi, dengan Enrique dilihat sebagai individu yang mampu membawa mereka merealisasikan impian menjulang gelaran Liga Juara-Juara buat kali ketiga berturut-turut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




