PETALING JAYA: ZK Racing terus diberi tanggungjawab membangunkan bakat muda sukan permotoran negara menerusi Kejuaraan MiniMoto RCB yang kini dijenamakan semula kepada Kejuaraan Motokidz RCB.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan ZK Racing, penggunaan nama baharu kejohanan peringkat akar umbi tersebut berkuat kuasa serta merta dengan RCB kekal menjadi penaja utama kepada program itu.
“RCB selaku penaja utama terus komited meneruskan pembangunan kejuaraan secara strategik dan berterusan serta kekal menyokong usaha pembangunan dalam melahirkan bakat pelumba muda sejak 2025,” kata kenyataan itu di sini, hari ini.
Menurut ZK Racing, Kejuaraan Motokidz RCB akan diteruskan untuk tahun kedua dengan lima pusingan sebagai kelas sokongan kepada perlumbaan FIM MotoMini Malaysia yang dijadual membuka tirai bagi musim 2026 pada Mei nanti.
Kata kenyataan itu lagi, penganjuran kejuaraan tersebut terus menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada komuniti permotoran tempatan.
“Penukaran nama dan logo ini dibuat bagi menyelaraskan penggunaan perkataan ‘Moto’ dalam keseluruhan struktur pembangunan sukan permotoran dua roda.
“Langkah ini selari dengan penjenamaan kejuaraan lain di peringkat nasional dan antarabangsa seperti MotoMini (sebelum ini dikenali sebagai MiniGP), Moto4 Piala Asia (sebelum ini Asia Talent Cup), Moto3 Junior serta kejuaraan dunia seperti Moto3, Moto2 dan MotoGP,” kata kenyataan itu.
Penjenamaan baharu itu turut memperkukuhkan laluan pembangunan pelumba muda yang lebih tersusun dan progresif bermula dari peringkat kanak-kanak sehingga ke pentas kejuaraan dunia.
Seiring dengan nama baharu, Kejuaraan Motokidz RCB akan terus memberi fokus kepada penglibatan kanak-kanak seawal usia enam hingga sembilan tahun sebagai platform asas untuk mencungkil serta membentuk bakat baharu sebelum melangkah ke peringkat seterusnya iaitu MotoMini.
Kejuaraan tersebut menjadi asas penting dalam ekosistem pembangunan bakat sukan permotoran dua roda negara.
ZK Racing berkata, penjenamaan semula itu bukan sekadar perubahan nama, tetapi mencerminkan hala tuju jangka panjang dalam membina struktur pembangunan yang lebih jelas, konsisten dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
“Dengan identiti baharu sebagai Kejuaraan Motokidz RCB, ZK Racing yakin kejuaraan ini akan terus menjadi platform penting dalam melahirkan generasi pelumba cilik yang berpotensi untuk melangkah lebih jauh dalam arena sukan permotoran profesional,” kata kenyataan itu. – UTUSAN




