PETALING JAYA: Tonggak pertahanan Deportivo Alaves, Facundo Garces yang kembali beraksi di pentas kompetitif nyata membawa impak besar, di mana nilai pasarannya melonjak selepas tempoh sukar yang dilaluinya.
Pemain berusia 26 tahun itu, sebelum ini terpaksa menjalani penggantungan selama enam bulan susulan kes membabitkan Harimau Malaya dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), sekali gus menyaksikan namanya ‘sepi’ daripada radar perlawanan rasmi.
Bagaimanapun, keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menangguhkan hukuman penggantungan 12 bulan dan denda buat sementara terhadap pemain tersebut sehingga keputusan muktamad rayuan di CAS dibuat, membolehkan Garces kembali beraksi.
Dia kembali diturunkan dalam beberapa aksi penting, termasuk perlawanan LaLiga musim 2025-2026 menentang Espanyol pada 31 Januari lalu.
Kehadiran semula pertahanan kelahiran Santa Fe, Argentina itu memberi nafas baharu di benteng Alaves, sekali gus memberikan lebih banyak pilihan buat ketua jurulatih Eduardo Coudet dalam merencanakan strategi pasukan.
Perkembangan terbaharu oleh Transfermarkt menyaksikan nilai pasaran Garces kini mencecah sekitar 1 juta Euro (RM4.64 juta).
Angka itu jauh berbeza berbanding penilaian sifar yang diletakkan terhadapnya ketika tempoh penggantungan sebelum ini.
Lonjakan tersebut turut meletakkannya sebagai pemain ketiga paling bernilai dalam kalangan skuad kebangsaan, di belakang Imanol Machuca yang dianggarkan bernilai RM5.85 juta serta penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Joao Figueiredo (RM4.7 juta).
Prestasi konsisten bersama Alaves bukan sahaja mengukuhkan reputasinya di Sepanyol, malah memberi kelebihan buat Harimau Malaya menjelang aksi penting menentang Vietnam bulan depan. – UTUSAN


