asyikin.mat@hmetro.com.my
Sepang: Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini kira-kira jam 6.20 petang tadi bagi memulakan lawatan negara dua hari ke Malaysia.
Ketibaan beliau disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Kedatangan Abdul Fattah atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
“Selamat datang ke Malaysia, Presiden El-Sisi!
“Usai pembentangan Belanjawan MADANI Kelima, saya terus ke Kompleks Bunga Raya, KLIA bagi menyambut ketibaan Presiden Republik Arab Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, yang mengadakan Lawatan Negara atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Insya-Allah, esok kami akan mengadakan mesyuarat dua hala bagi menilai kemajuan kerjasama dan bertukar pandangan terkait isu serantau serta antarabangsa, selain menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman antara Malaysia dan Mesir,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar turut berkongsi beberapa gambar menyambut ketibaan Abdul Fattah.
Lawatan itu adalah lawatan sulung Abdel Fattah El-Sisi ke Malaysia sejak memegang jawatan Presiden Mesir pada Jun 2014.
© New Straits Times Press (M) Bhd




