1 Ramadan ditetapkan Khamis, 19 Feb

1 Ramadan ditetapkan Khamis, 19 Feb

Kuala Lumpur: Umat Islam di Malaysia mula berpuasa pada Khamis 19 Februari, demikian diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Syed Danial berkata tarikh permulaan puasa bagi negeri di seluruh Malaysia ditetapkan menurut perintah Yang di-Pertuan Agong selepas diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka dengan ini saya mengisytiharkan tarikh mula puasa bagi negeri seluruh Malaysia adalah pada Khamis 19 Februari 2026,” katanya.

Pengumuman itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.

Sebelum ini, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dilapor memaklumkan tarikh melihat anak bulan Ramadan untuk menetapkan permulaan puasa bagi umat Islam di Malaysia ditetapkan petang Selasa, 17 Feb bersamaan dengan 29 Syaaban 1447 Hijrah.

Kenyataan itu menyebut jawatankuasa telah diperkenankan melihat anak bulan Ramadan di 29 lokasi di seluruh negara antaranya di Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail, Pontian, Johor; dan Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara di Melaka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top