Kes bunuh ahli keluarga, PSSS akan diperkasakan lagi

Kes bunuh ahli keluarga, PSSS akan diperkasakan lagi

mdroji@bh.com.my

Kuching: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Nancy Shukri berkata Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) akan diperkasakan lagi bagi membantu individu yang menghadapi tekanan perasaan.

Sambil menzahirkan rasa sedih dengan tragedi menimpa lima sekeluarga di Kuantan, Pahang pada Selasa, beliau berkata, tragedi yang dipercayai berpunca daripada tekanan perasaan amat mendukacitakan.

Menurutnya, kejadian pembunuhan ahli keluarga juga semakin membimbangkan dengan sekurang-kurangnya enam kes berlaku dalam tempoh Januari hingga hari ini.

“Memang amat mendukacitakan apabila setiap kali berlaku kes pembunuhan ibu, isteri, anak atau suami.

“Kes di Kuantan ini masih dalam siasatan lanjut pihak polis, tetapi kami dimaklumkan tekanan perasaan kerana tiada pekerjaan mungkin punca kejadian itu.

“Ekoran banyak kes yang berlaku akibat gangguan fikiran, kini menjadi keperluan mendesak bagi kami untuk bergerak membawa perkhidmatan kaunseling menerusi PSSS ini dengan lebih meluas.

“Kami akan memperhebatkan promosi PSSS supaya menjadi tempat untuk menyampaikan maklumat mereka yang terganggu fikiran, selain meningkatkan kesedaran masyarakat supaya lebih peka dengan keadaan jiran atau orang sekeliling,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Ihya Ramadan 2026/1447H di Masjid Darul Hana Petra Jaya, di sini, malam tadi.

Nancy berkata, sejak Oktober 2021 hingga Disember 2025, sebanyak 156,033 kes klien disantuni dan diselesaikan melalui PSSS dengan sebahagian besarnya mengalami tekanan perasaan.

“Kepekaan kita terhadap mereka yang sedang berdepan tekanan perasaan sama ada memberi nasihat atau melaporkan supaya ada pihak profesional termasuk kaunselor dapat membantu,” katanya.

Media pada Selasa melaporkan lima sekeluarga ditemui meninggal dunia di kawasan perumahan Cherating Damai, Kuantan kira-kira 7 pagi, membabitkan kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun, ibu bapa mereka yang berusia 32 dan 28 tahun serta nenek mereka yang berumur 55 tahun.


Berita Berkaitan

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top