Anggota kanan geng jenayah 'Luffy' dijel seumur hidup

Anggota kanan geng jenayah 'Luffy' dijel seumur hidup

Tokyo: Mahkamah Daerah Tokyo pada Isnin, menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap seorang anggota kanan sindiket jenayah dari Filipina yang didakwa mengatur siri rompakan di seluruh Jepun.

Toshiya Fujita, 41, didapati bersalah atas pertuduhan termasuk rompakan sehingga menyebabkan kematian.

Tertuduh adalah individu kedua daripada empat ahli kumpulan berkenaan yang disabitkan kesalahan.

Ahli kumpulan berkenaan menggunakan gelaran seperti ‘Luffy’, sempena watak manga popular (karakter visual dalam komik Jepun).

Berdasarkan penghakiman, Fujita bersekongkol dengan Kiyoto Imamura dan Yuki Watanabe, masing-masing berusia 41 tahun, serta anggota kanan sindiket itu.

Mereka didakwa melakukan rompakan secara jarak jauh dengan menghantar beberapa lelaki ke sebuah rumah di Komae, Tokyo, pada Januari 2023.

Mahkamah menyatakan Fujita memainkan peranan penting dalam jenayah rompakan terbabit.

Dalam kejadian itu, seorang wanita berusia 90 tahun dirompak suspek yang menyamar sebagai penghantar bungkusan untuk memasuki rumah mangsa.

Suspek kemudian melarikan barangan berharga termasuk jam tangan sebelum mangsa disahkan meninggal dunia akibat kejutan trauma akibat insiden itu.

Terdahulu pada Julai 2025, seorang anggota sindiket sama dijatuhi hukuman penjara 20 tahun kerana membantu merancang rompakan serta memperkenalkan Fujita kepada individu yang direkrut untuk melaksanakannya.

Tomonobu Kojima, 48, bagaimanapun mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top