DBKL turunkan khemah MRM di Bukit Bintang kerana halang laluan awam

DBKL turunkan khemah MRM di Bukit Bintang kerana halang laluan awam

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan menurunkan khemah yang dipasang di atas laluan pejalan kaki oleh Multiracial Reverted Muslims (MRM) di Jalan Bukit Bintang berhadapan Bangunan Yayasan Selangor, di sini, semalam, selepas didapati melanggar peraturan.

DBKL dalam kenyataan memaklumkan, pemeriksaan di lokasi mendapati berlaku pelanggaran peraturan membabitkan pemasangan khemah di laluan awam yang sepatutnya sentiasa bebas daripada sebarang halangan bagi memastikan keselamatan serta kelancaran pergerakan orang ramai.

“Susulan itu, petugas DBKL hadir ke lokasi bagi mendapatkan penjelasan daripada pihak yang terbabit.

“Bagaimanapun, selepas menunggu melebihi 30 minit, tiada wakil pihak berkenaan tampil untuk memberikan kerjasama atau penjelasan kepada petugas DBKL,” kata kenyataan itu hari ini.

Susulan itu, DBKL berkata, pihaknya menurunkan khemah dan memindahkan semua bahan berkaitan untuk disimpan mengikut peruntukan undang-undang dan peraturan kecil yang berkuat kuasa.

Katanya, sepanjang proses pelaksanaan tindakan, pihak bertanggungjawab masih gagal hadir untuk memberikan sebarang penjelasan.

“DBKL ingin menegaskan bahawa semua tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara profesional, berhemah dan berlandaskan undang-undang.

“Penguatkuasaan ini adalah penting bagi memastikan keselamatan awam, ketenteraman bandar serta kelancaran penggunaan ruang awam terus terpelihara demi kepentingan bersama warga kota,” katanya.

Dalam pada itu, DBKL berkata, pihaknya tidak pernah menghalang aktiviti dakwah di ruang awam.

Bagaimanapun, katanya, semua aktiviti hendaklah dilaksanakan mengikut proses dan prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Dalam masa terdekat, pihak pengurusan DBKL akan mengadakan perjumpaan dengan pihak MRM bagi mengadakan perbincangan konstruktif ke arah penyelesaian jangka panjang serta memastikan situasi seumpama ini tidak berulang pada masa hadapan,” katanya.

Terdahulu MRM dalam kenyataan di Facebook berkata, pihak DBKL menghantar 12 pegawai untuk menutup dan merampas reruai Street Dakwah MRM di Bukit Bintang.

MRM mendakwa, selama 14 tahun MRM mengadakan Street Dakwah dan kehadiran mereka di sana sudah lama disedari oleh pihak polis dan DBKL.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top