sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Atlet wushu negara, Mandy Cebelle Chen kini sedang berada dalam persiapan rapi untuk memastikan dirinya layak ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Bagi Mandy, fokus utama ketika ini adalah memastikan tiket ke temasya berkenaan menjadi miliknya terlebih dahulu sebelum menyasarkan menamatkan saingan dalam kelompok lapan terbaik pada penampilan sulungnya di pentas berprestij itu.
“Target saya tahun ini semestinya untuk layak ke Sukan Asia. Jika layak, kerana ini kali pertama saya beraksi di sana, saya sasarkan kelompok lapan terbaik.
“Saya akan berdepan ramai pesaing yang mempunyai gelaran dunia, pingat Sukan Se dan pelbagai pencapaian lain. Jadi saya hanya mahu lakukan yang terbaik dan membanggakan negara,” katanya.
Selain itu, atlet berusia 23 tahun itu menyedari persaingan di Sukan Asia juga adalah berbeza apabila dipertandingkan secara individu.
“Untuk Sukan Asia, acara dipertandingkan secara individu. Namun ia masih format gabungan, di mana dua disiplin akan digabungkan untuk menentukan satu pingat,” katanya.
Mengulas mengenai tahap kesihatan, Mandy mengakui sempat diuji dengan masalah kesihatan pada awal tahun, namun kini berada dalam keadaan baik tanpa kecederaan serius.
© New Straits Times Press (M) Bhd




