illahhafiz.abdulaziz@bh.com.my
Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan proses tawaran haji musim 1447H/2026M berjalan dengan lebih lancar dengan kuota haji yang diperuntukkan sudah diisi sepenuhnya, termasuklah sekitar 85,000 permohonan rayuan haji diterima.
Permohonan rayuan berkenaan itu adalah lebih banyak berbanding kuota tahunan sebanyak 31,600.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad berkata, pada tahun ini, melalui inisiatif penambahbaikan TH terutamanya peringatan supaya bakal jemaah membuat persediaan, kuota haji rasmi negara dapat dipenuhi lebih awal.
Katanya, usaha ini menunjukkan kadar penangguhan yang jauh lebih rendah iaitu 18 peratus bagi musim 1447H berbanding 50 peratus pada tahun 1446H.
“Berdasarkan jumlah rayuan yang tinggi, maka permohonan rayuan musim ini akan ditutup mulai 1 Ramadan 1447H.
“Permohonan rayuan yang sudah diterima sebelum tarikh ini kekal dalam pertimbangan TH. Sekiranya berlaku kekosongan saat akhir akibat penangguhan atau pembatalan, pengisian akan dibuat daripada senarai rayuan sedia ada berdasarkan merit dan kriteria yang ditetapkan.
“TH ingin mengucapkan terima kasih atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan oleh semua bakal jemaah dan semoga semua usaha bakal jemaah ini mendapat ganjaran sebaiknya di sisi Allah SWT,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, TH akan terus menumpukan usaha bagi memastikan kelancaran operasi haji musim 1447H.
“Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia dijadualkan bermula pada 18 April 2026, manakala penerbangan terakhir pada 20 Mei 2026, dengan hari Wukuf dijangka pada 26 Mei 2026,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



