hafizithnin@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan berlaku aktiviti penjajaan air balang di sekitar Dataran Merdeka pada Sabtu lalu dan tindakan sitaan sudah dilaksanakan selaras dengan peruntukan undang-undang.
Menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi DBKL hari ini, Dataran Merdeka adalah kawasan larangan menjaja bagi menjaga imej, kebersihan serta nilai warisan kawasan ini yang menjadi kebanggaan warga kota dan pelancong.
“DBKL turut mengingatkan pengunjung supaya tidak membeli daripada penjaja haram serta bersama-sama memainkan peranan menjaga kebersihan dan menghargai keindahan persekitaran.
“Kerjasama semua pihak amat dihargai demi memastikan Dataran Merdeka dan kawasan sekitar berada dalam keadaan bersih, selamat dan sejahtera untuk dikunjungi,” katanya menerusi hantaran di media sosial rasminya hari ini.
Terdahulu pengguna media memuat naik aktiviti menjaja berkenaan di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi orang ramai.
© New Straits Times Press (M) Bhd




