Lisbon: Vinicius Junior meledak gol kemenangan bergaya pada babak kedua ketika Real Madrid menewaskan Benfica 1-0 dalam aksi pertama playoff Liga Juara-Juara awal pagi tadi, namun perlawanan itu dibayangi dakwaan kata-kata berunsur perkauman terhadap bintang Brazil berkenaan.
Insiden didakwa berlaku sejurus Vinicius meletakkan Real di depan lima minit selepas rehat di Estadio da Luz, sebelum pengadil Francois Letexier menghentikan permainan selama 11 minit mengikut protokol anti perkauman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Rakaman televisyen menunjukkan pemain sayap Argentina, Gianluca Prestianni menutup mulutnya dengan jersi sebelum membuat kenyataan yang ditafsir Vinicius serta rakan sepasukan sebagai penghinaan berbaur perkauman terhadap pemain berusia 25 tahun itu.
Suasana menjadi tegang selepas perlawanan disambung semula dengan pengendali Benfica, Jose Mourinho dilayangkan kad merah pada minit ke-85 selepas menerima dua kad kuning.
Kapten Real, Federico Valverde berkata, rakan sepasukan yang berada berhampiran mendengar sesuatu yang ‘sangat buruk’ dan menegaskan ramai pihak termasuk Vinicius sudah lama berjuang menentang perkauman dalam bola sepak.
Prestianni bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan menjelaskan Vinicius tersalah dengar, selain mendakwa dia menerima ugutan daripada pemain Real.
Sementara itu, Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) memaklumkan laporan rasmi perlawanan sedang diteliti dan prosiding disiplin akan dibuka sekiranya perlu, dengan sebarang keputusan akan diumumkan di laman web disiplin badan induk itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




