Baku: Anthony Gordon mempamerkan ketajaman penyudah dengan menjaringkan empat gol ketika Newcastle membelasah Qarabag 6-1 dalam perlawanan pertama playoff Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.
Gordon mencuri tumpuan apabila empat kali menembusi gawang lawan sebelum separuh masa pertama tamat di Stadium Republik Tofiq Bahramov.
Malick Thiaw turut menyumbang satu gol sebelum rehat, manakala Jacob Murphy menambah jaringan selepas rehat untuk melengkapkan kemenangan besar Newcastle.
Gol saguhati Qarabag menerusi Elvin Jafarguliyev pada separuh masa kedua sekadar penghibur buat pasukan tuan rumah dari Azerbaijan, yang dihukum akibat pertahanan longgar dalam persembahan yang mengecewakan.
“Ia hasil usaha seluruh pasukan. Kami sangat cemerlang pada separuh masa pertama. Ini antara persembahan terbaik kami sejak sekian lama,” kata pengurus Newcastle, Eddie Howe.
“Saya tahu perlawanan ini belum berakhir, tetapi kami berada dalam kedudukan yang sangat baik.”
Penyerang England, Gordon kini menjaringkan 14 gol musim ini, termasuk 10 dalam Liga Juara-Juara, sekali gus memintas legenda kelab, Alan Shearer sebagai penjaring terbanyak Newcastle dalam satu musim saingan kelab elit Eropah.
“Dia sangat cemerlang pada separuh masa pertama. Dia memulakan tekanan ke atas lawan dan beberapa gol terhasil daripada kerja kerasnya tanpa bola,” kata Howe.
“Dia sebenarnya boleh menjaringkan lebih banyak gol, tetapi ia tetap satu persembahan yang sangat baik.”
Aksi cemerlang Gordon di pesisir Laut Kaspia memastikan perlawanan timbal balik di St James’ Park pada 24 Februari nanti sekadar formaliti.
Kecuali berlaku kebangkitan luar biasa Qarabag, Newcastle dijangka berdepan Barcelona atau Chelsea di pusingan 16 terbaik.
Selepas menamatkan penantian 70 tahun Newcastle untuk meraih trofi domestik utama dengan menjuarai Piala Liga musim lalu, Howe kini mengintai satu lagi sejarah, dengan mengakui ia “bermakna segalanya” jika berjaya membawa pasukannya ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara buat kali pertama.
© New Straits Times Press (M) Bhd



