Madrid: Polis Sepanyol menahan seorang lelaki berusia 20 tahun kerana didakwa menggodam laman web tempahan hotel untuk menempah bilik mewah dengan bayaran serendah satu sen.
Suspek dipercayai memanipulasi sistem pembayaran laman web itu supaya tempahan kelihatan dibayar sepenuhnya.
Difahamkan, hanya satu sen yang dicaj untuk bilik yang berharga sehingga 1,000 Euro (kira-kira RM4,616) semalam.
Polis Kebangsaan Sepanyol berkata, ini adalah kali pertama mereka mengesan jenayah siber menggunakan kaedah sedemikian.
Lelaki itu, seorang warganegara Sepanyol, turut mengambil barangan dalam ‘minibar’ semasa penginapannya dan kadang-kadang meninggalkan bil tanpa membayarnya.
Ketika penangkapan, dia dilaporkan menginap di sebuah hotel mewah di Madrid dengan tempahan empat malam berjumlah 4,000 Euro (kira-kira RM18,465).
Difahamkan, lelaki itu menginap beberapa kali di hotel berkenaan, menyebabkan kerugian lebih daripada 20,000 Euro ((kira-kira RM92,325) kepada pihak hotel.
Siasatan bermula selepas laman web tempahan dalam talian melaporkan aktiviti mencurigakan pada awal Februari.
Transaksi pada awalnya kelihatan selesai dengan betul, tetapi ketidakaturan itu hanya ditemui beberapa hari kemudian apabila platform pembayaran memindahkan jumlah sebenar yang dibayar kepada syarikat yang terjejas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




