Kuala Lumpur: Pelakon dan usahawan Fazura bakal melancarkan single berjudul ‘Raya Pum Pang Lagi’ bersama insan paling istimewa, Fatima secara rasmi, esok.
Lebih daripada sekadar versi baharu, Raya Pum Pang sebelum ini, lagu itu mengabadikan momen-momen di rumah yang akhirnya bertukar menjadi sebuah kenangan besar buat Fazura.
“Sejujurnya, idea ini datang secara sangat semula jadi. Tahun lepas bila ‘Raya Pum Pang’ keluar, Fatima memang selalu ikut menyanyi sekali dekat rumah. Dia hafal lirik, siap buat gaya sendiri.
“Dari situ saya rasa, kenapa tak jadikan memori kecil itu sesuatu yang lebih bermakna? Raya Pum Pang Lagi ini bukan sekadar versi baru, tapi versi yang ada kenangan kami berdua sebagai ibu dan anak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kerjasama ibu dan anak ini bukan sekadar menghidupkan semula lagu raya, 8malah ia memberi dimensi emosi dan memori baharu menjadikan versi kali ini lebih manis, hangat, dan dekat dengan makna sebenar Syawal.
Baru-baru ini, Fazura dan Fatima mencuri perhatian ramai apabila tampil bersama di pentas Jakel Fashion Show 2026 yang memperlihatkan hubungan ibu dan anak.
Malah, penampilan mereka mencetuskan perbualan hangat kemungkinan ada kerjasama istimewa.
Namun, Fazura menegaskan bahawa lagu ini lahir daripada rasa hati, bukan perancangan komersial.
“Momen itu memang sangat manis, sebab kami dapat tampil bersama sebagai ibu dan anak di pentas yang besar. Tapi lagu ini sebenarnya lahir daripada rasa peribadi saya tentang hari raya dan keluarga.
“Inti lagu ini tetap pasal kasih sayang, memori, dan suasana hari raya dalam keluarga kami,” katanya.
Antara momen paling bermakna sepanjang proses pembuatan lagu ini apabila buat pertama kalinya, Fatima berdiri di hadapan mikrofon bukan sekadar untuk bermain-main, tetapi sebagai sebahagian daripada sebuah karya rasmi.
Bagi Fazura, detik itu sukar digambarkan dengan kata-kata.
© New Straits Times Press (M) Bhd




