PENGURUSAN tertinggi Manchester United dilaporkan mula ‘menyesal’ dengan persetujuan melepaskan Marcus Rashford ke Barcelona dengan harga serendah £26 juta (RM137 juta) dan kini percaya nilai pemain itu sepatutnya mencecah dua kali ganda.
Bekas pengendali United, Ruben Amorim sebelum ini merestui perpindahan pinjaman Rashford ke gergasi La Liga itu pada musim panas lalu selepas menyisihkan penyerang antarabangsa England tersebut daripada perancangan utamanya di Old Trafford.
Rashford, yang merupakan graduan akademi United, telah melakukan lebih 400 penampilan bersama kelab zaman kanak-kanaknya itu. Dia pernah menikmati kempen yang prolifik, termasuk meledak 30 gol di bawah kendalian Erik ten Hag serta mempamerkan aksi cemerlang ketika era Ole Gunnar Solskjaer.
Bagaimanapun, nasib pemain itu berubah di bawah kendalian Amorim pada musim 2024-25 apabila dia ‘dibekukan’ daripada skuad utama sebelum menamatkan saingan musim tersebut secara pinjaman di Aston Villa.
Biarpun Villa berminat untuk menandatangani Rashford secara tetap, pemain berusia 28 tahun itu memilih Barcelona sebagai destinasi impiannya selepas juara La Liga itu menyatakan minat.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian pinjaman tersebut, United bersetuju memasukkan klausa penjualan tetap Rashford kepada Barcelona dengan nilai hanya £26 juta.
Pada ketika itu, yuran tersebut dianggap rendah, namun prestasi memukau Rashford di Sepanyol kini menguatkan spekulasi bahawa Barcelona telah melakukan satu pembelian yang sangat bijak dan menguntungkan.
Rashford kini dilaporkan sangat gembira di Nou Camp dan hampir mencapai angka dua digit untuk kedua-dua gol dan bantuan gol (assists). Prestasinya turut membantu Barcelona menduduki tangga kedua La Liga dan mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara.
Menurut laporan Daily Star, United kini berasa ralat dengan perjanjian tersebut dan percaya mereka sepatutnya boleh meraih hampir £50 juta (RM281 juta) untuk Rashford pada musim panas ini berdasarkan prestasi semasanya.
United pada mulanya hanya mahu mengeluarkan Rashford daripada senarai gaji di Old Trafford, namun kini percaya Barcelona telah berjaya mendapatkan ‘harga lelong’ bagi pemain berkaliber tersebut.
Prestasi Rashford di Sepanyol turut menarik perhatian kelab-kelab lain yang dikatakan sanggup membayar sehingga £50 juta untuk mendapatkan khidmatnya.
Malah, terdapat laporan mendakwa pengurus sementara United, Michael Carrick berminat untuk membawa pulang Rashford kembali ke Theatre of Dreams sekiranya beliau dilantik sebagai pengurus tetap, namun klausa perjanjian sedia ada mungkin menghalang hasrat itu.
Ringkasan AI
- Pengurusan tertinggi Manchester United menyesal melepaskan Marcus Rashford ke Barcelona dengan harga £26 juta
- Rashford pernah menampilkan kempen yang prolifik, termasuk mencetak 30 gol di bawah kendalian Erik ten Hag
- Nasib Rashford berubah apabila ‘dibekukan’ daripada skuad utama oleh Ruben Amorim, kemudian dipinjamkan ke Aston Villa
- United meletakkan klausa penjualan tetap Rashford kepada Barcelona dengan nilai hanya £26 juta
- Prestasi Rashford di Barcelona membuat United percaya nilai pemain itu sepatutnya mencecah hampir £50 juta



