sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) menafikan melepaskan bekas pemain tengahnya, Careca dalam mengharungi saingan Liga Super musim 2026/2027.
Sebaliknya pemain kelahiran Brazil itu antara tonggak import yang mahu dikekalkan skuad dari Pantai Timur itu.
Naib Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Mohamed Sekanther Abdul Hamid berkata, setakat ini pemain berusia 30 tahun itu masih berada dalam senarai pemain import TFC.
“Desas-desus mengaitkan pemain itu (Careca) sudah ‘angkat kaki’ meninggalkan TFC untuk bermain dengan kelab Indonesia, Arema FC hanyalah khabar angin.
“Ini kerana sebelum saingan Liga Super berakhir baru-baru ini, pemain itu menyatakan hasrat untuk terus menyarung jersi TFC, lagipun pihak kami juga sudah mengadakan perbincangan awal dengan pemain tengah menyerang itu.
“Tapi setakat ini kontraknya yang berakhir bulan lalu belum disambung lagi kerana menanti kepulangan Presiden PBSNT yang kini mengerjakan ibadah haji, bagaimanapun keputusan muktamad bergantung kepada perbincangan lanjut dengan pemain itu,” ujar Mohamed Sekanther ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Liga Kuala Terengganu (KTL) semalam.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Terengganu berkata, KTL yang berkonsepkan ‘Bolasepak Untuk Semua’ itu akan disertai 22 pasukan dari dalam dan luar daerah Kuala Terengganu yang bakal membuka tirainya pada 19 Jun ini selama empat bulan.
“Konsep bolasepak untuk semua ini membawa aspirasi untuk menjadikan bola sepak sebagai medium penyatuan komuniti, pembangunan bakat akar umbi dan gaya hidup sihat yang boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat daripada dalam dan luar Kuala Terengganu.
“Penjenamaan KTL kali pertama ini sebagai wajah baharu liga yang lebih moden, profesional dan dinamik selari dengan perkembangan liga yang semakin berkembang selain melambangkan semangat baharu dalam membina platform bola sepak untuk semua lapisan masyarakat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




