am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan untuk menubuhkan jawatankuasa khas siasatan bertaraf suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat projek mega antara Kerajaan Pusat dan sebuah syarikat asing yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion.
Ketua Whip PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, jawatankuasa itu perlu diketuai oleh seorang bekas hakim mahkamah atasan bagi memastikan siasatan dilakukan secara telus dan tegas.
Menurutnya, langkah berkenaan penting memandangkan angka itu membabitkan dana awam yang besar dan menyentuh integriti sistem pentadbiran kerajaan.
“Langkah tegas dan segera amat perlu diambil jika kerajaan benar-benar serius dan komited dalam usaha memerangi rasuah dan salah laku hingga ke akar umbi.
“Kerajaan tidak boleh berdiam diri atau berlindung di sebalik prosedur dan retorik semata-mata. Rakyat berhak mengetahui kebenaran dan fakta sebenar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung satu perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat asing yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion.
Ia susulan beberapa aduan yang dibuat oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung perjanjian yang dikatakan dibuat secara tergesa-gesa dan berat sebelah sehingga dijangka memberikan kesan kepada Kerajaan.
Berdasarkan aduan dan dokumen yang diserahkan oleh beberapa pihak, SPRM juga mendapatkan beberapa dokumen berkaitan perjanjian ini pada 13 Februari 2026 yang lalu dari Kementerian Ekonomi.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata berdasarkan maklumat daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), seorang bekas menteri kanan dalam pentadbiran semasa didakwa turut terbabit dalam perjanjian itu.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendakwa perjanjian berkenaan turut membabitkan seorang bekas menteri kanan dalam pentadbiran semasa.
Justeru, beliau memberi amaran sekiranya pihak kerajaan gagal untuk bertindak secara telus, ia hanya akan menguatkan lagi persepsi negatif rakyat.
“Angka RM1.1 bilion bukan kecil, selain ia dana awam dan membabitkan kepercayaan orang ramai terhadap integriti sistem pentadbiran kerajaan.
“Kegagalan bertindak tegas dan telus hanya akan menguatkan persepsi bahawa terdapat usaha untuk menyembunyikan atau melindungi sesuatu atau seseorang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




