Arteta gesa Arsenal bangkit dari kesakitan berdepan Wolves

Arteta gesa Arsenal bangkit dari kesakitan berdepan Wolves

London: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, menggesa pasukannya menggunakan “kesakitan” akibat keputusan seri 2-2 yang mengejutkan dengan Wolves sebagai pembakar semangat untuk menghidupkan semula cabaran kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika menentang seteru setempat, Tottenham Hotspur.

The Gunners berada di landasan untuk meraih kemenangan mudah pada Rabu selepas jaringan Bukayo Saka dan Piero Hincapie meletakkan mereka di depan 2-0 di Molineux.

Namun, Wolves yang menghuni tangga tercorot bangkit menerusi Hugo Bueno dan Tom Edozie.

Keputusan seri itu menyaksikan Arsenal yang memburu gelaran liga pertama dalam tempoh 22 tahun kini hanya lima mata di depan Manchester City di tangga kedua.

Ia adalah perlawanan kedua berturut-turut Arsenal tercicir mata selepas seri dengan Brentford dan bermakna mereka hanya menang dua kali dalam tujuh aksi liga terakhir.

City yang masih memiliki satu perlawanan dalam tangan pernah memintas Arsenal untuk menjuarai liga pada musim 2022/23 dan 2023/24, dengan pertemuan kedua-dua pasukan pada April nanti berpotensi menjadi penentu kejuaraan.

Namun Arteta berkata: “Saya akan menjadi individu pertama yang mendekati mereka (pemain) kerana ini tiada kaitan dengan sikap atau keinginan, malah sebaliknya.

“Ia sebahagian daripada bola sepak. Dalam situasi yang boleh menjadi kesilapan hari ini, ia benar-benar berlaku.

“Jika melihat cara kami bolos dua gol tanpa memberi ruang kepada banyak situasi lain, ia agak jarang berlaku tetapi tetap boleh terjadi. Ia berlaku atas sebab tertentu dan kami perlu bangkit.

“Jika mahu berada di puncak, anda perlu terus menang, itu bukan perkara baharu.”

Arsenal akan bertandang ke gelanggang Tottenham dalam aksi derbi utara London pada Ahad ini, dengan Arteta berkata: “Kami perlu melalui kesakitan ini, melihat diri sendiri dan memahami apa yang diperlukan dalam perlawanan seterusnya iaitu Ahad. Kami perlu simpan semua itu dalam diri dan pamerkannya pada Ahad.”

Sementara itu, Saka berkata kepada laman rasmi Arsenal: “Suasana agak suram. Kami kecewa dengan keputusan itu, itu sahaja cara untuk menggambarkannya.

“Saya fikir ia perlawanan dua babak. Pada separuh masa pertama kami bermula dengan baik, tetapi pada separuh masa kedua tahap permainan menurun dan kami dihukum.”

Menjelang aksi derbi itu, pemain antarabangsa England berkenaan menambah: “Ia memang perlawanan besar dan sekarang ia kekal besar… Semuanya masih dalam kawalan kami, jadi kami hanya perlu fokus, perbaiki kelemahan yang ada dan kembali ke landasan kemenangan.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top