Mesir hantar lebih banyak bantuan ke Gaza sempena permulaan Ramadan

Mesir hantar lebih banyak bantuan ke Gaza sempena permulaan Ramadan

Kaherah: Mesir menghantar bantuan kemanusiaan tambahan ke Semenanjung Gaza ketika bulan suci Ramadan bermula di negara itu pada Khamis, selain meneruskan usaha memudahkan kepulangan dan pemindahan perubatan rakyat Palestin melalui pintu sempadan Rafah, lapor Xinhua.

Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) melancarkan konvoi bantuan baharu yang merangkumi lebih 197,000 bakul makanan, lebih 235 tan tepung, lebih 390 tan ubat-ubatan, bekalan bantuan serta barangan penjagaan diri, selain barangan keperluan musim sejuk seperti selimut dan pakaian.

ERC dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa konvoi itu adalah sebahagian daripada kempen untuk menyediakan hidangan iftar kepada satu juta rakyat Palestin sepanjang bulan Ramadan.

Turut pada Khamis, lintasan Rafah di pihak Mesir menerima sekumpulan lagi rakyat Palestin yang pulang ke Gaza, serta pesakit Palestin yang cedera parah untuk mendapatkan rawatan di hospital-hospital Mesir.

Lintasan sempadan di pihak Palestin disambung operasinya secara rasmi awal bulan ini buat kali pertama sejak Mei 2024, sebagai sebahagian daripada pelaksanaan fasa kedua perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas.

Sejak pembukaan semula lintasan itu, Mesir telah menerima kumpulan rakyat Palestin yang cedera dan sakit, selain memudahkan urusan kepulangan penduduk Gaza yang telah pulih.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top