Klang Selatan terima Ketua Polis Daerah baharu

Klang Selatan terima Ketua Polis Daerah baharu

am@hmetro.com.my

Klang: Timbalan Ketua Urus Setia (Teknologi) Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Asisten Komisioner Lim Jit Huey dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Klang Selatan yang baharu, berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Asisten Komisioner Ramli Kasa yang bersara wajib.

Majlis Serah Terima Tugas antara Lim dan Ramli diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan dengan disaksikan Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar.

Shazeli ketika ditemui berkata, Polis Selangor meletakkan keyakinan tinggi pada Lim untuk meneruskan kesinambungan serta kecemerlangan IPD Klang Selatan yang ditunjukkan Ketua Polis Daerah sebelum ini.

“Saya memohon semua masyarakat memberikan kerjasama yang baik kepada beliau untuk memimpin PDRM di Klang Selatan,” katanya.

Sementara itu, Lim berkata pada peringkat awal, beliau akan melakukan pemerhatian sebelum melakukan sebarang transformasi di IPD Klang Selatan.

“Sebelum ke sini, saya dimaklumkan Klang Selatan adalah daerah yang kompleks dari segi ekonomi, sosial dan aktiviti jenayah yang sering menarik perhatian.

“Saya percaya pasukan PDRM sebelum ini memainkan peranan baik dengan kes yang menarik perhatian diselesaikan dengan baik.

“Saya juga mungkin akan mengaplikasikan sedikit sebanyak cadangan teknologi baharu untuk memudahkan kerja dengan pengalaman di jabatan sebelum ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top