sukan@hmetro.com.my
Seremban: Skuad Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC berharap mereka dapat menamatkan aksi kurang bermaya yang dialami sebelum ini apabila turun menentang Kelantan Red Warrior FC KRW) dalam pertembungan Liga Super di Selayang, malam esok.
Jurulatih pasukan itu, Eddy Gapil, jelas menaruh harapan tinggi terhadap kemampuan anak buahnya untuk mereka menterjemahkan persembahan terbaik bagi mendapatkan kemenangan.
Beliau akui pasukan bimbingannya amat dahagakan kemenangan selepas mencatatkan 11 kekalahan setakat ini.
“Saya mengharapkan keputusan positif dapat dicapai dalam pertembungan dengan Kelantan Red Worrior malam esok. Walaupun beraksi di tempat lawan, ia tidak sepatutnya jadi halangan buat pemain PDRM untuk memperagakan aksi terbaik dan mencipta kemenangan.
“Namun, berpandukan kepada persembahan ketika menentang Kuala Lumpur (KL) City FC pada 30 Januari lalu dan menentang Sabah FC dalam Piala Cabaran 2026, ternyata kemampuan dan semangat pemain masih tinggi apabila berjaya meraih keputusan seri dalam kedua-dua aksi berkenaan.
“Saya berharap pemain dapat meneruskan persembahan yang memberangsangkan itu ketika bertemu Kelantan Red Worrior dan seterusnya mampu membantu pasukan mendapatkan mata,” kata Eddy ketika dihubungi, hari ini.
Jelas pengendali itu, pihaknya sudah membuat persiapan yang rapi bagi menghadapi pertembungan berkenaan termasuk berusaha memperbaiki setiap kelemahan selain bersedia menurunkan barisan terbaik dari kalangan pemain utama sedia ada.
“Berbanding dengan sesetengah pasukan lain yang membawa masuk pemain baharu pada sesi perpindahan baru-baru ini, namun kami kekal dengan pemain sedia ada dan mereka diyakini berupaya untuk menggalas cabaran pasukan sehingga ke penghujung saingan musim ini,” katanya.
Eddy akui skuad Sang Saka Biru perlu bangkit dengan mempamerkan persembahan yang lebih baik bagi mendapatkan keputusan positif pada baki saingan liga, untuk membolehkan mereka memperbaiki kedudukan dalam carta sekali gus keluar daripada posisi di dasar liga.
“Memang ini suatu cabaran besar buat pemain kerana saingan di penghujung musim lebih sengit ketika semua pasukan mahu mengutip mata untuk mendapatkan kedudukan yang baik dalam liga.
“Oleh itu, kami tidak boleh rasa lemah semangat sebaliknya perlu hadapi cabaran ini dengan keyakinan yang tinggi dan terus bekerja keras bagi mempertahankan maruah pasukan,” katanya yang yakin semangat pemainnya kekal tinggi untuk membantu pasukan meraih kejayaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




