Glocal Travel perkenal pakej dan aplikasi pintar

Glocal Travel perkenal pakej dan aplikasi pintar

Kuala Lumpur : Persiapan bagi Musim Haji 1448H/2027M kini mula memuncak berikutan pengeluaran Lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) oleh Lembaga Tabung Haji (TH) kepada agensi pelancongan tempatan bertauliah demi membendung penipuan pakej serta visa tidak diiktiraf.

Menyahut inisiatif berkenaan, Glocal Travel & Tours Sdn Bhd (Glocal Travel) yang menerima Lesen PJH pada 1 September lalu, tampil memperkenalkan empat pilihan Pakej Haji 1448H serta aplikasi pengurusan pintar, Glocal Pilgrims Alert.

Majlis pelancaran berlangsung di Hotel Pullman Kuala Lumpur City Centre hari ini menyaksikan pengenalan Pakej Elaf Eksklusif, Pullman Clock Tower ECO, Pullman Clock Tower Premium dan Pullman Private.

Menutur Ketua Pegawai Executif Glocal Travel, Datuk Mohd Idzham Mohd Isa, keutamaan pengurusan haji masa kini berteraskan pendekatan holistik yang menyepadukan bimbingan rohani, logistik efisien dan sokongan operasi berterusan.

“Untuk Musim Haji 1448H, fokus kami bukan sekadar menawarkan pakej, sebaliknya menyediakan pengalaman perjalanan haji yang tersusun. Prinsip kami mudah: jemaah fokus sepenuhnya kepada ibadah, manakala urusan perjalanan kami bantu kendalikan,” katanya.

Bagi menangani cabaran komunikasi di Makkah dan Madinah, aplikasi Glocal Pilgrims Alert diperkenalkan untuk menyampaikan notifikasi masa nyata mengenai jadual pergerakan dan lokasi perhimpunan, selain fungsi penjejakan jemaah terpisah.

Mohd Idzham menegaskan integrasi teknologi berkenaan diwujudkan sebagai alat sokongan kepada petugas di lapangan tanpa menjejaskan sentuhan kemanusiaan dan keprihatinan terhadap jemaah.

Selain Perkhidmatan Mashair Naik Taraf (PMN) yang meningkatkan kemudahan khemah dan pengangkutan, Glocal Travel turut membariskan pembimbing bertauliah seperti Datuk Dr Ustaz Haji Badli Shah Alauddin dan Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki, di samping bimbingan komunikasi langsung (live communication) ketika menjalankan Tawaf dan Saie.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top