'Saya tidak hilang. Kurang aktif selepas isu mafia korporat tidak diendah PKR'

'Saya tidak hilang. Kurang aktif selepas isu mafia korporat tidak diendah PKR'

asyikin.mat@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung mempertahankan dirinya dengan menyatakan beliau tidak hilang setahun seperti didakwa, sebaliknya kurang aktif selepas isu mafia korporat yang dibangkitkan dalam PKR tidak diendahkan.

Beliau yang mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya semalam menegaskan kenyataan yang mendakwa beliau hilang lebih setahun daripada urusan parti adalah tidak tepat.

Katanya, dakwaan itu adalah cubaan mengalihkan perhatian daripada punca sebenar keadaan.

“Kenyataan saya ‘lebih setahun hilang’ daripada urusan parti adalah tidak tepat. Ia mengalihkan perhatian daripada punca sebenar keadaan ini.

“Saya tidak menjauhkan diri tanpa sebab. Saya mula kurang aktif selepas isu korporat mafia yang dibangkitkan melalui saluran dalaman tidak diendahkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Semalam, Lee mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen berkuat kuasa serta-merta, susulan keputusan penggantungan keahliannya dalam PKR selama tiga tahun.

Beliau dilapor berkata, tindakan itu dibuat selepas menerima keputusan penggantungan pada 30 September lalu, selain mendakwa akses terhadap peruntukan RM3 juta bagi kawasan Petaling Jaya sebelum ini telah disekat dan digunakan wakil parti.

Susulan itu, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, parti tidak ada masalah dengan peletakan jawatan Lee dan menyatakan wakil rakyat itu sudah lebih setahun tidak menghadiri mesyuarat mahupun kongres PKR.

Lee turut mempersoalkan tindakan PKR yang tidak mempedulikan aduannya mengenai mafia korporat susulan pendedahan ahli perniagaan Victor Chin menuduh seorang Ahli Parlimen PKR menerima RM9.5 juta untuk “menyelesaikan” isu mafia korporat yang membabitkannya.

Katanya, tuduhan seberat itu terhadap seorang wakil rakyat parti kerajaan sepatutnya disiasat dengan segera dan telus.

“Sehingga hari ini, tiada tindakan yang diambil. Sebaliknya, saya yang mendesak supaya isu ini disiasat pula yang disekat dan dihukum.

“Pada 26 Januari, saya meminta siasatan terhadap isu pegangan saham berlebihan Tan Sri Azam Baki dan isu korporat mafia di Parlimen. Tiada tindakan. Pada April, saya bertemu Perdana Menteri dan memohon sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI). Tiada tindakan.

“Pada 26 Mei, peruntukan kawasan saya disekat dan diserahkan kepada parti politik untuk menguruskannya. Pada 12 Jun, saya meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

“Pada 2 Julai, saya menerima surat tunjuk sebab daripada Lembaga Disiplin PKR. Saya menjawabnya pada 9 Julai tetapi tiada balasan.

“Seterusnya pada 20 Ogos, saya sendiri mengutuskan surat dan memohon kepada Lembaga Disiplin supaya pendengaran diadakan supaya saya diberi peluang membela diri. Permohonan itu tidak dipedulikan,” katanya.

Beliau mempersoalkan hukuman yang dikenakan ke atasnya selepas membangkitkan perkara berkaitan mafia korporat.

Lee berkata, isu pokoknya bukan siapa yang aktif atau tidak aktif, tetapi mengapa salah laku yang dilaporkan tidak disiasat, sedangkan yang mendedahkannya pula dihukum.

“Saya kekal komited kepada rakyat Petaling Jaya dan kepada prinsip yang membawa saya ke dalam politik, integriti, akauntabiliti dan keberanian untuk bersuara walaupun ia tidak popular,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top