Lelaki latih anjing buang sampah demi elak bayar cukai

Lelaki latih anjing buang sampah demi elak bayar cukai

SICILY: Seorang lelaki di Itali melatih anjing peliharaannya membuang sampah di tapak haram untuk mengelak daripada membayar kos kutipan.

Pihak berkuasa di Sicily baru-baru ini mendedahkan rakaman video menunjukkan seekor anjing yang dipercayai dilatih untuk membuang sampah di sebuah tapak haram berhampiran bandar Catania.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dikeluarkan Perbandaran Catania pada Khamis, anjing tersebut dilihat menggonggong beg sampah yang besar, sebelum meletakkannya dengan berhati-hati di tepi jalan.

Pihak berkuasa tempatan dalam hantaran di Facebook menegaskan kebijaksanaan pemilik anjing tersebut dalam melatih haiwan peliharaannya bukanlah satu alasan untuk melanggar undang-undang.

“Tindakan ini bukan sahaja licik, malah sangat tidak adil kerana selain mengotorkan bandar, pemiliknya cuba mengelak daripada peraturan dengan memperalatkan haiwan peliharaannya yang tidak bersalah.

“Menghormati kebersihan bandar dan alam sekitar adalah tanggungjawab semua,” menurut kenyataan tersebut.

Susulan penemuan video itu, identiti lelaki terbabit berjaya dikenal pasti dan dia turut dikenakan kompaun.

Insiden pelik itu mendedahkan masalah lebih besar yang sedang dihadapi oleh Itali.

Situasi dilaporkan amat buruk di wilayah selatan dan kawasan pulau, di mana kadar kutipan sampah ada kalanya serendah 57 peratus, menyebabkan sisa buangan terbiar berhari-hari di dalam tong sampah.

Menurut pihak berkuasa, ibu negara Rom mencatatkan kadar tertinggi penduduk yang ‘culas’ membayar cukai sampah, diikuti oleh Naples.

Sebaliknya, wilayah di utara Itali menunjukkan rekod yang jauh lebih baik dengan kadar kutipan sampah yang tinggi dan kes pelanggaran undang-undang yang rendah. -CNN

Scroll to Top