Arlington, Amerika Syarikat: Pengendali Australia, Tony Popovic, menggesa anak buahnya melakar sejarah apabila berdepan Mesir dalam aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia awal pagi esok.
Menurut Popovic, skuad Socceroos berpeluang meletakkan bola sepak Australia pada peta dunia sekiranya berjaya melepasi halangan Mesir dalam perlawanan yang akan berlangsung di Arlington, Texas.
Australia masih belum pernah memenangi perlawanan peringkat kalah mati di pentas Piala Dunia, malah Mesir yang diketuai bintang sensasi Mohamed Salah juga tidak mempunyai rekod sempurna apabila baru meraih kemenangan pertama mereka dalam sejarah kejohanan itu pada saingan peringkat kumpulan.
“Kami gembira berada di sini kerana kami layak dan berhak berada di peringkat ini.
“Kami berada dalam keadaan tenang, selesa dan sudah bersedia. Ini akan menjadi perlawanan yang cukup istimewa dan kami mahu mempamerkan kemampuan bola sepak Australia di pentas dunia,” katanya.
Australia membuka kempen Piala Dunia dengan kemenangan 2-0 ke atas Turkeyi sebelum tewas kepada tuan rumah bersama Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, keputusan seri menentang Paraguay sudah memadai untuk membawa mereka ke pusingan kalah mati.
Skuad Australia turut dibarisi beberapa pemain muda berbakat, termasuk pertahanan tengah berusia 18 tahun, Lucas Herrington, yang dilaporkan menjadi buruan gergasi Sepanyol, FC Barcelona.
Dalam masa sama, Popovic percaya gabungan pemain muda dan berpengalaman mampu memberikan persembahan terbaik untuk menewaskan Mesir.
“Kami cukup bagus untuk melakukannya.
“Kami perlu memainkan peranan kami sepanjang perlawanan, sama ada dalam tempoh 90 minit, masa tambahan atau penentuan sepakan penalti bagi mencipta sejarah.
“Saya menjangkakan perlawanan ini lebih sukar berbanding aksi-aksi sebelum ini kerana ia adalah perlawanan kalah mati dan kami amat menghormati Mesir.
“Namun saya juga percaya kami masih mampu beraksi dengan lebih baik. Esok adalah peluang untuk membuktikannya.
“Jika kami mempamerkan aksi terbaik, kami mempunyai peluang untuk mencipta sejarah,” katanya.
Sementara itu, Australia turut membuat persiapan menghadapi dua kemungkinan berhubung status Salah yang masih dibelenggu kecederaan.
Jurulatih Mesir sebelum ini mengakui masih belum pasti sama ada bekas penyerang Liverpool FC itu akan diturunkan dalam kesebelasan utama.
“Kami sudah membuat persiapan untuk kedua-dua situasi,” kata Popovic.
© New Straits Times Press (M) Bhd




