am@hmetro.com.my
Raub: BERSATU Bahagian Raub dan Lipis dibubarkan susulan kepemimpinan dan ahli jawatankuasa (AJK) bahagian keluar parti kerana hilang keyakinan terhadap pucuk kepemimpinan.
Ketua BERSATU Raub, Datuk Fakrunizam Ibrahim, berkata tindakan keluar parti diputuskan selepas menilai pelbagai isu disifatkan bercanggah dengan prinsip perjuangan mereka.
Beliau mendakwa keputusan itu dibuat demi menjaga akhlak dan integriti.
Katanya, parti politik sekadar platform tetapi prinsip perjuangan dan nilai moral mesti kekal konsisten.
“Kami tidak mahu mengulangi kesilapan kepimpinan terdahulu dalam beberapa parti lain seperti UMNO, PKR, AMANAH dan PAS,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Fakrunizam berkata, terdapat isu moral membabitkan pimpinan tertinggi BERSATU dan salah laku peribadi menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan ahli di peringkat akar umbi.
Menurutnya, pembubaran bahagian itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk keperluan penyelarasan pentadbiran, pengukuhan jentera serta penetapan hala tuju politik di Raub.
Sementara itu, Ketua BERSATU Lipis, Nor Alias Ibrahim, berkata majoriti pimpinan bahagian dan cawangan menyokong keputusan keluar parti selepas perbincangan serta tinjauan di peringkat akar umbi dilakukan.
Beliau berkata sebahagian besar pimpinan cawangan mahu perjuangan selepas ini terus berteraskan nilai agama, integriti dan prinsip moral.
“Langkah ini dilihat sebagai usaha memperkukuh semula organisasi serta menyusun strategi baharu bagi menghadapi landskap politik semasa semakin mencabar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




