PDRM FC akhiri kemarau tiga mata

PDRM FC akhiri kemarau tiga mata

SELAYANG: Penantian panjang PDRM FC tanpa kemenangan akhirnya ditamatkan selepas menundukkan Kelantan The Real Warriors (TRW) 1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Tiga mata yang diraih bukan sahaja memadam episod suram sebelum ini, malah menyuntik semangat baharu dalam kem pasukan The Cops.

Selepas beberapa perlawanan bergelut tanpa kemenangan, skuad bimbingan Eddy Gapil tampil dengan wajah berbeza apabila lebih kemas, berdisiplin dan berani mengatur gerakan.

Mereka jelas tidak mahu lagi tercicir mata di laman sendiri, apatah lagi berdepan lawan yang turut berjuang keluar daripada kelompok bawahan.

Kelantan TRW terlebih dahulu menguji benteng tuan rumah menerusi gerakan pantas di awal permainan, namun ketumpulan penyudah terus menghantui mereka.

Beberapa percubaan jarak dekat gagal menembusi kekebalan penjaga gol PDRM, Nor Hakeem Hamidun yang bertindak cemerlang memastikan gawangnya tidak dibolosi.

Lapan minit kemudian, PDRM akhirnya membuka tirai jaringan bermula dengan hantaran menarik Park Taesu disudahkan Muhammad Eizrul Ashraf Nor Effendy yang melakukan rembatan untuk menewaskan penjaga gol Kelantan TRW, Damyan Damyanov.

Umpanan Taesu sekali lagi hampir membantu Muhammad Eizrul Ashraf meledak gol kedua pada minit ke-65, bagaimanapun rembatannya kali ini berjaya diselamatkan Damyanov.

Babak kedua menyaksikan Kelantan TRW meningkatkan asakan dalam usaha mencari gol penyamaan.

Mereka melancarkan serangan bertali arus termasuk menerusi situasi bola mati, namun disiplin tinggi barisan pertahanan PDRM menjadi tembok kebal yang sukar ditembusi.

Kemenangan tipis ini memberi kelegaan besar kepada PDRM yang masih berusaha memperbaiki kedudukan dalam carta liga, manakala Kelantan TRW pula terpaksa akur terus bergelut dalam saingan musim ini.-UTUSAN

Scroll to Top