City raih kemenangan berharga, Arsenal makin tertekan

City raih kemenangan berharga, Arsenal makin tertekan

Manchester: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menyifatkan kemenangan 2-1 ke atas Newcastle United sebagai detik “cukup besar” dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

City yang berada di tangga kedua kini merapatkan jurang dengan pendahulu Arsenal kepada hanya dua mata hasil kemenangan tegang di Stadium Etihad.

Nico O’Reilly meletakkan City di depan pada babak pertama dan kembali memimpin sebelum rehat selepas Lewis Hall menyamakan kedudukan.

Walaupun aksi babak kedua kurang menyengat, City berjaya bertahan untuk terus memberi tekanan kepada Arsenal yang bakal bertandang ke gelanggang Tottenham Hotspur bagi aksi derbi London utara.

“Cukup besar. Newcastle pasukan luar biasa, kuat dari segi fizikal dan pantas di bahagian depan. Bahagian tengah juga kuat. Sangat sukar tetapi pasukan beraksi hebat.

“Ini tempoh paling penting musim ini. Setiap perlawanan akan jadi seperti hari ini,” kata Guardiola.

Selepas menamatkan musim lalu tanpa trofi, City kembali dalam pemburuan gelaran ketujuh era Guardiola. Mereka juga memiliki satu perlawanan dalam tangan berbanding Arsenal dan dijamin muncul juara jika memenangi baki 11 aksi liga.

Dalam tempoh 12 bulan lalu, Guardiola melakukan rombakan besar dengan melepaskan pemain berpengalaman seperti Kevin De Bruyne, Ederson dan Kyle Walker serta membawa masuk nama seperti Marc Guehi, Antoine Semenyo dan Rayan Cherki.

Jurulatih dari Sepanyol itu sedar generasi baharu City kurang pengalaman beraksi dalam tekanan perebutan gelaran, namun kejayaan penuh grit ke atas Newcastle memberi makna cukup besar.

“70 peratus pemain tidak pernah berada dalam situasi ini. Saya tidak bermain di atas padang, jadi mereka perlu mengharunginya. Setiap perlawanan akan jadi seperti ini,” katanya.

Beliau turut memuji O’Reilly selepas dua penyudah klinikal pemain tengah muda England itu membuktikan dia mampu menggalas tekanan memburu Arsenal.

“Nico beri kami kekuatan fizikal di tengah yang kami perlukan. Dia kini bermain di posisi sebenar.

“Dia lengkap dan masih muda. Saya bangga akademi melahirkan pemain hebat seperti Nico, Phil Foden dan Rico Lewis.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top