'Shanghai Bund' kembali tular, Youtuber Australia dedah realiti sebenar

'Shanghai Bund' kembali tular, Youtuber Australia dedah realiti sebenar

Saadiah_ismail@bh.com.my

Kuala Lumpur: Flat Hicks atau dikenali sebagai ‘Shanghai Bund’ yang terletak di Jalan Changkat kembali tular apabila seorang YouTuber dari Australia, Marco Roams mendedahkan keadaan terkini kawasan yang menjijikkan itu yang didakwa menjadi penempatan warga asing.

Menerusi video yang dimuat naik di platform media sosialnya, kelihatan sampah dibuang merata-rata termasuklah sampah pukal dan keadaan bangunan itu sangat usang serta bau yang amat busuk.

“Ia adalah blok apartment yang paling menjijikkan pernah saya lihat. Saya pernah merakam kawasan ini setahun lebih yang lalu dalam keadaan yang sama juga, tetapi hari ini ia tetap sama tidak berubah.

“Bayangkan jika ada yang menempah Airbnb di sini, inilah yang akan anda dapat.

“Saya terkejut kerajaan Malaysia biarkan bangunan usang dan kotor ini kerana kerajaan ini berusaha untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang begitu indah.

“Jika kerajaan Malaysia melihat video ini, sesuatu perlu dilakukan segera,” katanya dalam hantaran di laman sosialnya itu.

Pada November 2024, seramai 71 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menyewa di situ ditahan susulan aduan awam berhubung kehadiran Pati dan bau yang kurang menyenangkan dari premis enam tingkat itu.

Menurut beberapa PATI yang ditahan, kadar sewaan sebuah bilik di situ adalah antara RM400 hingga RM500 dan sebuah rumah mempunyai hingga enam bilik yang dibina menggunakan kayu sebagai pembahagi.

Ada juga PATI menjadikan ruangan dapur yang sempit sebagai bilik mereka dengan hanya beralaskan bantal dan cadar di atas lantai.

Sementara itu, netizen menggesa pihak berkuasa untuk bertindak supaya nama Malaysia tidak tercemar oleh kandungan video yang dilakukan oleh pelancong luar negara.

Bagi netizen, Ronaldwbinati, berkata bangunan itu terletak kurang 100 meter dari Jalan Alor dan hanya boleh berjalan kaki untuk ke Bukit Bintang.

“Premis berkenaan sudah beberapa kali menjadi perhatian media sejak 2024, namun masih belum ada tindakan diambil terhadap isu yang dibangkitkan,” katanya.

Bagi Arif_senai, ia satu yang memalukan apabila pelancong luar membongkarkan mengenai keburukan Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top