500 individu diraikan dalam Majlis Iftar Perdana

500 individu diraikan dalam Majlis Iftar Perdana

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Klang: Seramai 500 individu diraikan dalam Majlis Iftar Perdana yang diadakan di Masjid Jamek Ar Rahimiah, di sini, hari ini.

Pengerus Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Klang, Hushim Salleh berkata, kesemua individu berkenaan membabitkan jemputan pihaknya serta pihak pengurusan masjid berkenaan.

“Daripada jumlah itu, seramai 301 jemputan adalah daripada PERKIM Klang membabitkan 200 mualaf, 50 komuniti ar-riqab (LGBT) dan 51 orang kurang upaya (OKU) pendengaran.

“Selain itu, pihak pengurusan masjid ini juga menjemput kira-kira 200 individu membabitkan golongan asnaf, anak yatim dan ibu tunggal.

“Kesemua mereka menerima sumbangan wang tunai sebagai sumbangan selain diraikan dalam program ini,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan, semalam.

Hushim berkata, terdapat kira-kira 300 kariah masjid berkenaan turut serta dalam majlis terbabit.

“Majlis ini adalah program tahunan yang dijalankan di Masjid Jamek Ar Rahimiah sejak 2017 bagi menyantuni golongan terbabit.

“Justeru itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan masjid ini atas kerjasama dengan kami bagi penganjuran majlis ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top