Kuala Lumpur : Sebagai tanda protes, pelakon Diana Rafar pernah menggunting baju basikal suaminya, Zamarul Hisham yang berharga RM1,300 gara-gara terlalu sibuk ‘bercinta’ dengan hobinya itu.
Diana atau nama sebenarnya Adiana Abdul Rafar, 44, berkata ketika itu dia memang sudah gagal menahan rasa geram kerana Zamarul, 55, lebih mengutamakan hobinya itu berbanding memberi perhatian kepadanya.
“Ini cerita dahululah ketika kecoh isu basikal. Saya terjumpa baju basikal berharga RM1,300. Tahu tidak apa saya buat? Saya gunting baju itu. Itu yang abang (Zamarul) tidak boleh terima sangat masa itu.
“Sebab masa itu saya rasa macam hidup seorang. Dia pergi program basikal, lap basikal, masa puasa kilatkan basikal sampai subuh. Saya rasa dia ‘bercinta’ dengan basikal daripada isteri.
“Tapi salah saya juga. Dia ada belikan saya basikal, tetapi jiwa itu tidak ada,” kongsinya sewaktu menjadi jemputan audio siar (podcast) Kasi Onz kelolaan Erra Fazira dan suaminya, Ezwan Zain.
Bagaimanapun, Diana mendedahkan dia masih lagi menyimpan basikal yang Zamarul belikan untuknya. Bahkan, sekarang dia sendiri pula yang menyokong suaminya meneruskan hobi itu.
“Basikal itu sampai sekarang masih ada sebab ada nilai sentimental untuk saya walaupun anak yang pakai. Sekarang saya pula yang pujuk dan suruh suami untuk bermain basikal,” katanya.
Terdahulu, Diana pernah mendedahkan mengenai Zamarul menghidap Gangguan Obsesif Kompulsif (OCD) beberapa tahun lalu. Zamarul mengelap 16 buah basikal dari selepas Isyak hingga ke subuh.
Bahkan, kerana Zamarul terlalu ‘gila’ aktiviti basikal, nilai kemesraan mulai menghilang sesama mereka. Kerana mengikut emosi dan silaturahim mula ‘panas’, Diana kemudiannya meminta untuk dilepaskan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




