Azam Baki dipanggil beri keterangan isu saham, Jawatankuasa Khas jamin siasatan telus!

Azam Baki dipanggil beri keterangan isu saham, Jawatankuasa Khas jamin siasatan telus!

Pejabat Ketua Setiausaha Negara memaklumkan Jawatankuasa Khas Siasatan bagi isu pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah pun bersidang pada 19 Februari 2026.

Jawatankuasa khas siasatan telah panggil Azam Baki

Menurut kenyataan media dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Shamsul Azri Abu Bakar, jawatankuasa berkenaan telah memanggil Azam Baki bagi memberi keterangan berhubung pemilikan 17.7 juta saham dengan harga belian RM1.416 juta dalam syarikat Velocity Capital Partner Bhd.

Jawatankuasa kini sedang meneliti aspek pematuhan serta keteraturan pemilikan saham tersebut selain menilai segala keterangan yang diperoleh.

“Berdasarkan kepada laporan awal yang diterima, Jawatankuasa sedang meneliti aspek pematuhan dan keteraturan pemilikan saham tersebut oleh Tan Sri Azam Baki.
“Jawatankuasa juga masih dalam proses menilai segala keterangan yang telah diperoleh serta akan memanggil saksi-saksi lain yang berkaitan bagi melengkapkan siasatan terhadap perkara ini,” ujarnya.

jawatankuasa khas

Jawatankuasa Khas beri jaminan siasatan menyeluruh

Dalam masa sama, Jawatankuasa Khas memberi jaminan bahawa siasatan menyeluruh akan dilaksanakan secara telus, bebas dan profesional, dan hasil siasatan serta syor pertimbangan akan diangkat kepada pihak berkuasa termasuk sekiranya didapati wujud sebarang pelanggaran terhadap mana-mana undang-undang jenayah atau peraturan yang berkuat kuasa.

Terdahulu, Bloomberg dalam laporannya mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Artikel lain: “Saya tidak perlu bercuti…”- Azam Baki tegas sedia disiasat, tiada apa hendak disembunyikan

Walau bagaimanapun, Azam pada sidang media sebelum ini menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam syarikat berkenaan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.

Malah, beliau dilaporkan berkata tiada perkara yang disembunyikan dan pemilikan itu sudah diisytiharkan sepenuhnya, selain saham yang dibeli tahun lalu telah dilupuskan dalam tahun yang sama.

Sumber: Facebook Shamsul Azri Abu Bakar

Scroll to Top