Selepas muncul dengan single Mau Apa Lagi pada November lalu, penyanyi Irene Catalina kini muncul dengan buah tangan terbaharu.
Kali ini, Irene menghangatkan musim Raya tahun ini dengan single duet berjudul Vibes Hari Raya bersama Nuim.
Naskhah ini merupakan sebuah lagu Raya bernuansa ceria yang direka untuk menambah kemeriahan sambutan Aidilfitri generasi moden.

Menurut Irene, 48, lagu itu istimewa kerana ia merupakan lagu Raya pertamanya sebagai penyanyi utama dan menampilkan bunyian segar sesuai dengan citarasa masa kini.
“Vibes Hari Raya ada rasa moden dan meriah, sesuai untuk cara kita sambut Raya sekarang. Jika dilihat kepada pemilihan lirik, tradisi lama seperti duit raya masih ada, cuma kini ada yang guna kaedah pindahan wang melalui imbasan QR
“Dari segi muzik, lagu ini rancak, mudah diikuti dan sesuai untuk semua menyanyi bersama,” kata Irene.
Melihat ramai rakan artis melancarkan lagu Raya tahun ini, Irene memilih untuk melihatnya secara positif.
“Saya tidak anggap ini persaingan. Lagu Raya lebih tentang kepuasan peribadi, selama ini saya sering nyanyikan lagu orang lain, jadi kali ini berpeluang bawakan lagu sendiri amat bermakna. Niat saya cuma nak kongsi kegembiraan dengan pendengar,” katanya.

Komposer Bendittho atau Addiq Afdzal, bertanggungjawab sebagai penulis lirik dan penggubah lagu itu. Sebelum ini, Bendittho juga merupakan komposer untuk single Mau Apa Lagi.
Irene berkongsi proses produksi yang ringkas tetapi mencabar kerana perlu menampilkan karakter yang lebih bertenaga dan playful.
“Kerja menyiapkan lagu ini mengambil masa kira-kira dua bulan. Bendittho sudah faham karakter suara saya, jadi proses rakaman berjalan lancar.
“Cabarannya adalah untuk tampil lebih bertenaga dan bermain dengan elemen riang dalam vokal, jadi saya jalani latihan vokal profesional dan seronok sepanjang proses itu,” katanya.
Pemilihan Nuim sebagai rakan duet menurut Irene dibuat kerana keserasian suara dan sokongan yang sudah lama diberikan oleh Nuim sejak single Irene yang terdahulu.
“Nuim banyak memberi sokongan sejak lagu pertama saya. Suaranya tinggi dan unik, jadi sesuai digandingkan untuk lagu Raya ini,” jelas Irene.
Nuim pula menyatakan rasa syukur dan teruja kerana diberi peluang berkongsi pentas rakaman bersama Irene.

“Saya gembira dapat bekerjasama dengan Irene. Sepanjang proses dari idea hingga pelancaran, pengalaman itu sangat bermakna. Irene profesional dan banyak memberi input kreatif yang membantu menaikkan kualiti lagu.
“Harapan saya lagu ini diterima ramai dan memberi sentuhan positif kepada pendengar,” kata Nuim.
Vibes Hari Raya diterbitkan di bawah 78 Empire Records dan mula boleh distrim di platform digital seperti Spotify sejak 21 Februari 2026. Lirik video rasmi turut dimuat naik di YouTube pada tarikh yang sama.



