am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Lelaki warga Myanmar yang disyaki menjadi dalang sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Ops Serkap, di sebuah hotel Wakaf Che Yeh di sini, kelmarin.
Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan, Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata, lelaki berusia 31 tahun itu ditahan jam 7.05 pagi.
Katanya, operasi dijalankan hasil maklumat risikan dan seramai 11 pegawai dari Bahagian Penguat kuasa JIM Kelantan ke lokasi untuk membuat pemantauan di kawasan letak kereta sebuah hotel.
“Hasil pemantauan berjaya mengesan beberapa kenderaan mewah dipercayai digunakan sebagai kenderaan pengangkut PATI ke luar Kelantan.
“Beberapa PATI turut dilihat memasuki kenderaan di kawasan letak kenderaan hotel sebelum pasukan operasi membuat serbuan serta halangan di jalan masuk dan keluar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, beberapa PATI serta pemandu cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap.
Katanya, seramai 20 warga Myanmar iaitu 12 wanita dan lapan lelaki berusia di antara 17 hingga 40 tahun ditangkap.
“Mereka mengaku baru memasuki negara ini secara haram menggunakan jalan laut.
“Operasi turut menahan seorang lelaki warga Myanmar dipercayai sebagai perancang utama turut ditahan,” katanya.
Beliau berkata, dengan bantuan pihak hotel, pasukan membuat pemeriksaan menyeluruh dan menahan lima lelaki Myanmar berusia 25 hingga 36 tahun di dalam sebuah bilik.
“Mereka mengaku sedang menunggu ejen bagi menyeberangi sempadan untuk pulang ke negara asal,” katanya.
Menurutnya, dua lelaki warga China berusia 32 tahun turut ditahan ketika sedang bersembunyi di timbunan kotak di bumbung hotel.
Katanya, empat kenderaan iaitu Proton X90, Honda HRV, Nissan Serena dan Perodua Aruz ditahan untuk siasatan lanjut.
“Kesemua 27 PATI ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan seorang lelaki warga Myanmar ditahan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran 2007 untuk siasatan lanjut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



