Konsert Dewa 19: Cintaku Tertinggal di Malaysia berlangsung 6 Jun

Konsert Dewa 19: Cintaku Tertinggal di Malaysia berlangsung 6 Jun

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Kerinduan peminat tegar kumpulan rock legenda Indonesia, Dewa 19 untuk melihat idola mereka beraksi di pentas berskala besar di ibu kota akhirnya terjawab.

Penganjur Icon Entertainment mengesahkan peminat rantau ini bakal menyaksikan satu lagi kejutan istimewa buat Baladewa menerusi konsert yang diberi judul Dewa 19: Cintaku Tertinggal di Malaysia bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 6 Jun nanti.

Menerusi sidang media yang diadakan secara langsung di Instagram, penganjur mendedahkan pemilihan judul konsert itu mempunyai nilai nostalgia dan sejarah peribadi buat ketua kumpulan itu, Ahmad Dhani.

Difahamkan judul asal lagu berkenaan adalah Cintaku Tertinggal di Kuala Lumpur sebelum disingkatkan kepada Cintaku Tertinggal di Malaysia.

Pemilihan tajuk itu bukan sekadar hiasan, sebaliknya ia diangkat sebagai simbolik kepada perjalanan seni serta pelbagai kenangan indah yang tercipta buat kumpulan itu di negara ini.

Lebih menarik, malam penuh emosi itu bakal dimeriahkan dengan persembahan jemputan khas daripada satu lagi kumpulan gergasi dari seberang iaitu Padi Reborn.

Terdahulu, akaun peminat rasmi Dewa19BalaMalaysia memberi bayangan mengenai pengumuman itu yang amat dinantikan oleh seluruh Baladewa dan Baladewi di tanah air.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top