New York: Fasa pertama majlis perkahwinan sensasi pop Taylor Swift bersama bintang Liga Sukan Bola Sepak Amerika (NFL), Travis Kelce bermula semalam.
Majlis dimulakan dengan raptai makan malam yang dihadiri 100 tetamu, mendahului sebuah acara gilang-gemilang dipenuhi deretan selebriti terkenal di Madison Square Garden.
Bagaimanapun, penyanyi berstatus bilionair dan juara Super Bowl sebanyak tiga kali yang masing-masing berusia 36 tahun itu membiarkan peminat terus berteka-teki.
Laporan media menggambarkan keraian ini sebagai satu sambutan luar biasa mewah yang sangat sepadan dengan status sebagai pasangan paling berpengaruh di dunia.
Majlis perkahwinan dan resepsi dijadual berlangsung hari ini dengan kehadiran kira-kira 1,000 tetamu, termasuk rakan rapat Swift seperti Gigi Hadid, Cara Delevingne, Selena Gomez dan Zoe Kravitz, selain rakan sepasukan Kelce dari pasukan Kansas City Chiefs.
Koresponden AFP melaporkan beberapa kenderaan utiliti sukan (SUV) dilihat membawa tetamu tiba di khemah khas di luar premis itu, dengan peminat didapati juga berada di kawasan itu untuk melihat acara terbabit.
Penyanyi legenda Stevie Nicks dan Tim McGraw dilaporkan akan membuat persembahan khas, manakala penyanyi asal British Ed Sheeran serta Paul McCartney berkemungkinan turut diundang sebagai artis jemputan.
Menurut laporan, semua tetamu perlu menandatangani perjanjian kerahsiaan dan tidak dibenarkan membawa telefon bimbit sepanjang majlis berlangsung bagi menjaga privasi pasangan itu.
Suasana sekitar Madison Square Garden sejak beberapa hari lalu turut menjadi perhatian apabila dikawal ketat pihak berkuasa dengan beberapa jalan ditutup, selain kehadiran trak dan petugas yang membuat persiapan.
Peminat Swift atau dikenali sebagai Swifties turut membanjiri beberapa lokasi ikonik di bandar raya ini yang pernah disebut dalam lirik lagu penyanyi itu bagi meraikan detik bersejarah berkenaan.
Swift dan Kelce mengumumkan pertunangan mereka pada Ogos tahun lalu dan dipercayai berada di New York sejak awal minggu ini bagi membuat persiapan terakhir.
Sebelum majlis berlangsung, pasangan itu turut mengumumkan sumbangan AS$26 juta (kira-kira RM105.8 juta) kepada pelbagai badan kebajikan di Amerika Syarikat, termasuk pertubuhan kebajikan haiwan serta organisasi di Nashville dan Kansas City.
Swift menikmati kejayaan besar menerusi album The Life of a Showgirl, selain disenaraikan dalam Songwriters Hall of Fame dan menyumbangkan lagu untuk filem Toy Story 5.
Kelce pula bakal memulakan musim ke-14 bersama Kansas City Chiefs selepas membantu pasukan itu muncul juara Super Bowl sebanyak tiga kali.
© New Straits Times Press (M) Bhd




