am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bekas pengarah sebuah syarikat telekomunikasi ditahan kerana disyaki memberi rasuah kira-kira RM8 juta kepada Presiden/Pengarah Urusan Kumpulan sebuah bank sebagai balasan membantu meluluskan permohonan pinjaman.
Sumber berkata, lelaki berusia 50-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya pada 12.30 tengah hari, hari ini.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan berkenaan pada 2012.
“Suspek juga dipercayai mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu membabitkan dokumen Joint Completion Guarantee sebagai memenuhi syarat kelulusan permohonan pinjaman berjumlah kira-kira RM400 juta untuk membiayai sebuah projek fiber optik,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur, esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




