Pelanggan jerit, peniaga tersepit

Pelanggan jerit, peniaga tersepit

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Alasan hampir sama diberikan kebanyakan peniaga Bazar Ramadan yang mendakwa lonjakan kos bahan mentah menjadi punca mereka menaikkan harga jualan makanan antara 50 sen hingga RM2 bagi setiap juadah.

Peniaga mendakwa mereka mengekalkan margin keuntungan kecil bagi menjaga hati pelanggan walaupun tersepit dengan peningkatan kos bahan mentah.

Mereka bagaimanapun mengakui kenaikan harga memberi kesan besar kepada golongan berpendapatan rendah dan mereka yang mempunyai tanggungan keluarga yang ramai.

Tinjauan wartawan di bazar Ramadan sekitar Pandan Indah, Ampang, Selangor dan Taman Tun Dr Ismail di sini mendapati berlaku kenaikan harga kuih-muih mencecah sekitar 20 sen hingga RM1.60 setiap satu bergantung kepada jenis kuih dan kualiti bahan digunakan.

Sebagai contoh ada kuih tepung pelita premium boleh cecah RM1.60 seketul. Malah, ada peniaga jual tiga kuih karipap kecil pada harga RM3 satu pek.

Ini berbeza tahun sebelumnya apabila tiga kuih karipap dijual pada harga RM2.

Selain itu, set nasi seperti nasi ayam atau nasi kukus dijual secara purata sekitar RM8 hingga RM10 setiap pek.

Peniaga roti John, Mohd Iqbal Hanafi, 26, berkata, dia terpaksa menaikkan jualan roti John ayam dan daging kepada RM10 berbanding RM8 sebelum ini.

Menurutnya, kos harga minyak masak, telur dan daging kisar agak tinggi di pasaran menjadi punca kenaikan harga jualan tahun ini.

Tinjauan wartawan melalui hantaran di laman X @MalaysianFoods mendapati ada peniaga bazar didakwa meletak harga bagi ayam golek sehingga mencecah RM60 seekor.

Hantaran yang sama turut berkongsi beberapa harga makanan terkini dijual di bazar Ramadan.

“Ini sebab kenapa kita tak perlu pergi bazar. Harga karipap RM10, murtabak RM10 sekeping, roti John ayam RM20 manakala daging RM25 serta air balang cawan kecil RM8 dan cawan besar RM15,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bazar Ramadan di Alor Setar, Kedah, mendapati harga ayam golek meningkat kepada RM19.90 berbanding RM16.90 seekor pada tahun lalu.

Peniaga ayam golek, Siti Mariah Ahmad, 47, berkata, peningkatan harga tidak dapat dibendung susulan kos bahan mentah yang meningkat tahun ini.

Namun, katanya, kebanyakan pelanggan memahami punca kenaikan harga ayam golek dijual yang dipengaruhi harga bahan mentah.

“Selain itu saya perlu membayar gaji 20 pekerja. Kos bahan mentah lain seperti rempah-ratus meningkat menyebabkan saya tidak dapat menjual harga sama seperti Ramadan tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, walaupun ayam golek dijual naik RM3 namun ia masih dianggap murah dan berbaloi berbanding lokasi bazar lain.

“Kami jual ayam golek pada harga RM16.90 seekor sejak tiga tahun lalu. Namun terpaksa naikkan kepada RM19.90 tahun ini.

“Tahun lalu kami jual 700 hingga 1,000 ekor ayam golek sehari. Kuantiti ayam golek dijual tahun ini sama dan permintaan terus meningkat, ” katanya ketika ditemui di Jalan Langgar di sini, semalam.

Sementara itu tinjauan wartawan di Bazar Ramadan Semabok Perdana, Melaka mendapati berlaku kenaikan harga kuih-muih dijual peniaga.

Jika sebelum ini kebanyakan peniaga menjual kuih pada harga RM2 bagi lima ketul namun pada tahun ini harganya meningkat kepada RM3 bagi empat ketul.

Peniaga kuih di Bazar Ramadan Semabok Perdana, Suhara Mohd Tapa 38, mengakui menaikkan harga susulan kenaikan harga bahan mentah utama seperti kelapa dan santan.

“Harga kelapa kini RM3.80 sebiji berbanding RM3 sebelum ini manakala santan segar pula meningkat kepada RM16 sekilogram berbanding RM13 sekilogram. Harga santan kotak naik kepada RM14.90 seliter berbanding RM10.90 seliter sebelum ini. Bahan utama seperti santan dan kelapa banyak digunakan untuk penghasilan kuih-muih. Bila harga bahan mentah naik, kos keseluruhan pun turut meningkat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top