Mac Allister akui Reds longlai

Mac Allister akui Reds longlai

Nottingham: Alexis Mac Allister mengakui Liverpool perlu menilai semula prestasi mereka walaupun jaringannya pada minit ke-97 menghadiahkan kemenangan 1-0 ke atas Nottingham Forest dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.

The Reds buntu di bahagian serangan ketika berdepan pasukan yang bergelut mengelak penyingkiran sebelum meledak gol pada penghujung aksi.

Jaringan Mac Allister sebelum itu dibatalkan apabila bola terkena lengannya ketika cuba menghalang sepakan Ola Aina.

Pemain Argentina yang menjuarai Piala Dunia itu kemudian menyudahkan peluang dalam masa kecederaan dan kali ini gol dikira sah biarpun Hugo Ekitike berada dalam kedudukan ofsaid lebih awal dalam gerakan berkenaan.

“Perasaan bercampur-baur. Saya suka menjaringkan gol, saya suka menang, jadi dalam sudut itu ia hari yang baik.

“Tetapi pada masa sama, saya tidak fikir kami bermain dengan baik. Banyak perkara perlu diperbaiki,” katanya.

Liverpool kekal di tangga keenam buat masa ini, namun kemenangan itu menyaksikan anak buah Arne Slot mengumpul mata sama dengan Chelsea dan Manchester United dalam perebutan tiket ke Liga Juara-Juara (UCL) musim depan.

Mac Allister turut mengkritik aksi longlai pada babak pertama apabila penjaga gol, Alisson Becker beberapa kali menyelamatkan pasukan.

“Kami perlu analisis sepanjang minggu ini kerana separuh masa pertama langsung tidak baik. Kedudukan, intensiti, tekanan semuanya tidak menjadi.

“Itu bukan standard kami. Separuh masa kedua sedikit lebih baik walaupun bukan aksi terbaik.

“Kami ada beberapa peluang dan paling penting, kami menang,” katanya.

Liverpool menerima tamparan sebelum sepak mula apabila Florian Wirtz mengalami kecederaan ketika sesi memanaskan badan.

Bagaimanapun, Slot berharap pemain Jerman itu tidak mengalami masalah serius.

“Kami tidak fikir ia serius, tetapi dia rasa sakit di bahagian belakang ketika pemanas badan.

“Jadi kami buat keputusan tidak menurunkannya. Kami harap dia boleh kembali minggu depan, tetapi kita tidak tahu apa akan berlaku,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top