Hamidin wakil Presiden FIFA di Amerika Syarikat

Hamidin wakil Presiden FIFA di Amerika Syarikat

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Presiden Kehormat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin bakal menggalas tanggungjawab penting saingan Piala Dunia 2026 apabila dilantik sebagai ketua delegasi dan wakil presiden FIFA bagi beberapa venue di Amerika Syarikat.

Menurut Hamidin yang juga Ahli Majlis FIFA, beliau akan bertanggungjawab menyelia kelancaran penganjuran perlawanan di Los Angeles dan San Francisco sepanjang kejohanan berprestij itu berlangsung.

“Saya antara Ahli Majlis FIFA. Jadi, edisi kali ini membabitkan 16 lokasi yang berjauhan dan sebab itu saya dilantik sebagai ketua delegasi serta wakil Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino yang bertanggungjawab di Los Angeles dan San Francisco.

“Tugas saya merangkumi pemantauan kelancaran perlawanan di kedua-dua venue itu bermula dari peringkat kumpulan. Selepas itu, sehingga peringkat suku akhir saya akan berpangkalan di Los Angeles.

“Saya juga akan terlibat sehingga peringkat separuh akhir dan final. Peranan saya adalah memastikan semua perlawanan di venue yang dipertanggungjawabkan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan,” katanya.

Sebagai makluman, kejohanan empat tahun sekali itu dianjurkan secara bersama oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico. Ia juga merupakan edisi terbesar dalam sejarah penganjurannya dengan penyertaan 48 pasukan.

Perlawanan pembukaan akan berlangsung awal pagi esok apabila tuan rumah bersama, Mexico menentang Afrika Selatan di Stadium Azteca, Mexico City.

Bagaimanapun, ketika gelanggang Piala Dunia 2026 masih belum dibuka secara rasmi, beberapa isu kontroversi sudah tercetus di luar padang sehingga mendapat perhatian dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top