TEHERAN – Iran dilaporkan sedang membuat persiapan menyeluruh bagi menghadapi kemungkinan serangan Amerika Syarikat (AS), susulan jangkaan bahawa tindakan ketenteraan itu tidak dapat dielakkan.
Menurut laporan The New York Times (NYT) yang memetik sumber serta pakar hal ehwal Iran, Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei, telah mengeluarkan arahan khusus kepada pasukan keselamatan negara sebagai persediaan menghadapi serangan mengejut.
Laporan itu menyatakan bahawa Iran mengambil iktibar daripada serangan mengejut Israel sebelum ini dan kini telah mengarahkan semua pasukan keselamatan memperketat kawalan, termasuk menyekat jalan utama serta meningkatkan operasi memburu ejen musuh.
Selain itu, latihan ketenteraan turut diadakan, manakala pelancar peluru berpandu dilaporkan telah ditempatkan di sepanjang sempadan barat negara itu bagi menyasarkan Israel, serta di pesisir Teluk Parsi untuk menghadapi pangkalan tentera dan armada AS.
Dalam perkembangan sama, Khamenei turut mengarahkan penyediaan pelan tindakan sekiranya beliau terbunuh dalam konflik tersebut.
Menurut pakar Iran, Vali Nasr, Khamenei menjangkakan kemungkinan ‘syahid’ dan bertekad mempertahankan sistem pemerintahannya hingga ke akhir.
“Khamenei menjangkakan dirinya akan syahid dan berpendapat bahawa ini adalah sistem serta legasinya dan beliau akan bertahan hingga ke penghujung.
“Beliau sedang mengagihkan kuasa dan mempersiapkan negara untuk peristiwa penting seterusnya — sama ada peralihan kepimpinan atau peperangan, dengan menyedari bahawa peralihan itu mungkin menjadi akibat daripada peperangan,” katanya.
NYT turut melaporkan bahawa Khamenei telah menyerahkan sebahagian kuasanya kepada sekutu rapat bagi mengenal pasti sehingga empat calon pengganti sekiranya berlaku kematian atau penculikan terhadap beliau.
Dalam struktur kuasa semasa, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Ali Larijani, dilihat memainkan peranan penting.
Beliau bertanggungjawab terhadap isu keselamatan dalam negeri, hubungan dengan sekutu serta rundingan dengan Washington berhubung program nuklear Iran.
Sekiranya konflik bersenjata tercetus, Larijani dijangka menyelaras pentadbiran negara bagi memastikan kelangsungan pemerintahan.
Laporan ini mencerminkan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat di Asia Barat, ketika rundingan nuklear dan persaingan kuasa serantau terus membayangi kestabilan rantau berkenaan. – Agensi
Ringkasan AI
- Iran sedang membuat persiapan menyeluruh untuk menghadapi kemungkinan serangan AS
- Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei, mengeluarkan arahan kepada pasukan keselamatan sebagai persediaan
- Pasukan keselamatan Iran memperketat kawalan dan meningkatkan operasi memburu ejen musuh
- Latihan ketenteraan diadakan dan pelancar peluru berpandu ditempatkan untuk menyasarkan Israel dan menghadapi AS
- Khamenei mengarahkan penyediaan pelan tindakan sekiranya beliau terbunuh dalam konflik


