KUALA LUMPUR – Festival raya ikonik, Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya (ABxFGR) kembali menggegarkan kalendar perayaan tahun ini dengan skala lebih besar sempena ulang tahun penganjuran kelima pada 2026.
Acara yang pernah menerima pengiktirafan daripada The Malaysian Book of Records sebagai Expo Festival Raya terbesar di Malaysia pada 2024 itu merupakan anjuran bersama My Events International dan Absolut Events & Management.
Buat julung kalinya, ABxFGR 2026 akan memulakan jelajah di tiga lokasi utama termasuk hentian antarabangsa pertama di BRIDEX Convention Centre, Brunei pada 27 Februari hingga 1 Mac 2026.
Festival itu kemudian diteruskan di PICCA, Pulau Pinang pada 6 hingga 8 Mac 2026 sebelum acara kemuncak berlangsung selama 66 jam tanpa henti bermula jam 12 tengah hari, 13 Mac sehingga 6 pagi, 16 Mac 2026 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.
Sepanjang empat tahun penganjuran sejak 2022, ABxFGR mencatat pelbagai pencapaian membanggakan antaranya RM61.5 juta hasil jualan, 2,432 tapak reruai, 7.96 juta pengunjung, 334 vendor makanan dan minuman (F&B), lebih 400 selebriti, 125 rakan penaja serta penyertaan lebih 3,500 usahawan dan 700 jenama tempatan.
Pengarah dan Pengasas My Events International, Datin Wira Sabrina berkata, pencapaian tersebut mengukuhkan status ABxFGR sebagai festival raya paling ikonik dan pilihan utama pengunjung di Malaysia.
“Pencapaian yang dicapai sepanjang penganjuran ini mengukuhkan lagi status ABxFGR sebagai Festival Raya paling ikonik dan pilihan utama pengunjung di Malaysia, di samping memberi impak positif kepada ekonomi negara serta membuka peluang perniagaan kepada usahawan dan pemilik perniagaan tempatan, khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME).
“Sebagai hentian antarabangsa pertama, Brunei Darussalam menjadi fokus strategik bagi memperluaskan capaian jenama ABxFGR serta meraih potensi pasaran baharu,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Absolut Events & Management, Nur Ali Nadzwan berkata, skala penganjuran tahun ini diperluaskan ke Brunei dan Pulau Pinang selain penambahan ruang pameran di MITEC bagi menempatkan lebih banyak tapak reruai.
“Kami amat menghargai sokongan barisan penaja dalam merealisasikan impian menembusi pasaran baharu di peringkat antarabangsa serta bahagian utara Malaysia,” ujarnya.

Sepanjang empat tahun penganjuran sejak 2022, ABxFGR mencatat pelbagai pencapaian membanggakan antaranya RM61.5 juta hasil jualan, 2,432 tapak reruai, 7.96 juta pengunjung, 334 vendor makanan dan minuman (F&B), lebih 400 selebriti, 125 rakan penaja serta penyertaan lebih 3,500 usahawan dan 700 jenama tempatan.
Dalam pada itu, penganjur turut memperkenalkan barisan rakan penaja termasuk Kunafa Aiwahhh, SPayLater sebagai Kaedah Pembayaran BNPL Rasmi, Bank Rakyat sebagai Bank Rasmi, Power Root selaku Minuman Eksklusif, Cik B Salmon Skin sebagai Rangupan Rasmi, Sugar Bomb sebagai Wangian Rasmi, REV Media Group sebagai Media Rasmi dan Ombak Exclusive sebagai Percetakan Rasmi.
Turut menyokong penganjuran ialah Beauboss, Siti Khadijah, Varisha Collection, Keyes Bakehouse, Seri Bako, Opai Fragrance, HABIB, Cheetah dan Pure Lab.
ABxFGR 2026 turut membawakan kelainan menerusi kaedah pembayaran Buy Now, Pay Later (BNPL) melalui SPayLater bagi memberikan pengalaman membeli-belah lebih fleksibel kepada pengunjung.
Antara tarikan utama termasuk aktiviti Grab The Gold di Brunei, Cengkaman Lebaran atau Human Claw Machine di Kuala Lumpur serta Money Chamber di Pulau Pinang. Pengunjung juga berpeluang menikmati Jualan Happy Hour selain persembahan penyanyi terkenal tanah air sepanjang festival berlangsung.
Selebriti serta usahawan ternama turut dijangka memeriahkan acara berkenaan.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), pihak penganjur akan meneruskan tradisi menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan termasuk anak-anak yatim dan persatuan ibu tunggal seperti tahun sebelumnya.
Orang ramai boleh mengikuti akaun media sosial rasmi ABxFGR bagi mendapatkan maklumat terkini serta perkembangan terbaharu penganjuran festival berkenaan.



