Kemenangan dibatalkan selepas pecah rekod kebangsaan

Kemenangan dibatalkan selepas pecah rekod kebangsaan
Kemenangan dibatalkan selepas pecah rekod kebangsaan

Kemenangan Tshepiso Masalela (tengah) dibatalkan gara-gara menunjukkan isyarat tangan menyerupai pistol dan dihalakan ke arah pelari Perancis, Azeddine Habz. Foto Agensi

PELARI jarak sederhana Botswana, Tshepiso Masalela berdepan detik malang apabila dibatalkan kelayakan atas kesalahan kelakuan tidak beretika, hanya beberapa saat selepas memecahkan rekod kebangsaan pada kejohanan Orlen Copernicus Cup yang berlangsung di Torun, Poland hujung minggu lalu.

Masalela pada awalnya menamatkan acara 1,500 meter (m) sebagai pemenang dengan catatan 3 minit 32.56 saat (s), sekali gus mencipta rekod kebangsaan baharu dan melonjak ke kedudukan ke-14 terbaik sepanjang zaman acara dewan, menurut Track & Field Gazette.

Bagaimanapun, keputusan itu dibatalkan selepas atlet berusia 26 tahun berkenaan didakwa melakukan isyarat yang dianggap tidak sesuai ke arah pelari Perancis, Azeddine Habz ketika memasuki laluan lurus terakhir sebelum garisan penamat.

Pihak penganjur memutuskan Masalela melanggar Peraturan TR 7.1 di bawah Persekutuan Olahraga Dunia World Athletics, berkaitan kelakuan tidak beretika.

Rayuan yang dikemukakan atlet itu kemudiannya ditolak.

Susulan pembatalan kelayakan tersebut, Habz disahkan sebagai pemenang dengan masa sama 3:32.56s yang juga menjadi catatan ketiga terpantas dunia bagi tahun ini.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing menjadi milik Samuel Chapple (3:32.68s) dan Samuel Pihlström (3:33.47s) dengan kedua-duanya mencipta rekod kebangsaan litar pendek.

Setakat ini, punca sebenar tindakan Masalela terhadap Habz masih belum diperjelaskan, sementara insiden berkenaan terus mencetus perbincangan hangat dalam kalangan peminat olahraga antarabangsa.

Ringkasan AI

  • PELARI jarak sederhana Botswana, Tshepiso Masalela dibatalkan kelayakan atas kesalahan kelakuan tidak beretika selepas memecahkan rekod kebangsaan
  • Masalela menamatkan acara 1,500 meter sebagai pemenang dengan catatan 3 minit 32.56 saat, menjadikannya rekod kebangsaan baharu
  • Keputusan itu dibatalkan kerana Masalela didakwa melakukan isyarat tidak sesuai ke arah pelari Perancis, Azeddine Habz
  • Rayuan oleh Masalela ditolak dan Azeddine Habz disahkan sebagai pemenang dengan masa 3:32.56s
  • Punca sebenar tindakan Masalela terhadap Habz belum diperjelaskan, mencetuskan perbincangan dalam kalangan peminat olahraga antarabangsa
Scroll to Top