Georgetown: Kantin sebuah sekolah di sini diarah tutup serta-merta selepas pemeriksaan pihak kesihatan mendapati terdapat najis tikus.
Pengarah Pendidikan Pulau Pinang Mohd Dziauddin Mat Saad berkata, pihaknya dimaklumkan arahan penutupan kantin itu selama 14 hari bermula 12 tengah hari semalam hingga 27 Mei ini.
“Hasil siasatan dan pemantauan di kantin itu terdapat najis tikus di bahagian lantai belakang peti sejuk yang tidak digunakan dan perintah penutupan premis makanan tidak suci (kotor) di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Setakat ini tiada kes keracunan membabitkan murid atau guru yang dilaporkan berlaku di sekolah itu.
Beliau berkata pihak sekolah sudah mengatur penyediaan makanan kepada murid daripada pembekal makanan sepanjang tempoh kantin itu ditutup.
© New Straits Times Press (M) Bhd




